MPFN lulus 2 dasar perancangan bandar, desa RFN4, RFZPPN-2

MPFN lulus 2 dasar perancangan bandar, desa RFN4, RFZPPN-2

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) meluluskan dua dasar utama berkaitan perancangan bandar dan desa iaitu Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN4) dan Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara-2 (RFZPPN-2) yang disediakan di bawah peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail sabri Yaakob berkata, RFN merupakan dokumen peringkat tertinggi dalam sistem perancangan guna tanah negara yang mana RFN hendaklah dikaji semula setiap lima tahun, selaras dengan penyediaan Rancangan Malaysia Lima Tahun mengikut keperluan peruntukan di bawah subseksyen 6B(4) Akta 172, atau jika diarah oleh MPFN.

Beliau berkata, pihak-pihak berkuasa perancangan di bawah Akta 172 mempunyai fungsi dan tanggungjawab tertentu bagi memastikan RFN4 diterjemah dan dilaksanakan secara berkesan. 

Kata beliau, RFN4 menggariskan tiga teras pembangunan, 11 hala tuju strategik, 39 strategi dan 120 tindakan yang meliputi segenap bidang perancangan fizikal, ekonomi, alam sekitar dan sosial.

“RFN4 ini disediakan untuk menentukan arah tuju pemajuan fizikal termasuk ekonomi, alam sekitar dan sosial bagi seluruh kawasan perancangan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

“Pelaksanaan RFN4 memerlukan penglibatan pelbagai pihak di setiap peringkat perancangan dan pembangunan, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan, negeri atau tempatan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MPFN ke-39, hari ini. 

Ismail Sabri berkata, Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Ke-2 (RFZPPN-2) pula adalah satu rancangan strategik guna tanah yang menggariskan hala tuju penggunaan, pemuliharaan dan pengurusan sumberjaya persisiran pantai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. 

Jelasnya, RFZPPN-2 digubal dengan mengambil kira aspek-aspek ancaman geobencana seperti hakisan pantai dan faktor perubahan iklim yang akan memberi kesan kepada sosio-ekonomi dan alam sekitar. 

“Selain itu, Indeks Kerapuhan Persisiran Pantai (CVI) juga merupakan instrumen penting yang diambil kira dalam RFZPPN-2,” katanya.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah (JPW) bagi negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia (Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Perlis). 

Katanya, fungsi utama JPW adalah menyelaraskan isu-isu perancangan yang merentasi sempadan dua negeri atau lebih serta menasihati kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam wilayah itu mengenai rancangan pemajuan yang sesuai bagi wilayah tersebut. 

“Ini adalah JPW keempat yang dipersetujui cadangan penubuhannya oleh MPFN, selepas JPW bagi Kawasan Persempadanan Antara Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (JPW NSMJ); JPW bagi Kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands, Kinta dan Lojing (JPW CEKAL) dan JPW bagi Kawasan Persempadanan Antara Daerah Pekan-Kuantan-Kemaman-Dungun-Jerantut (JPW PAKADJ),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN