JOHOR BAHRU: Sebuah keluarga masih dalam keadaan trauma dengan insiden yang menggemparkan lima beranak itu selepas seorang pemandu cuai merempuh tembok belakang rumahnya di Jalan Dedaru 24, Taman Megah Ria, di sini, Rabu lalu.
Ketika kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi itu, Ng Poh Lian, 40, berkata, mereka sekeluarga sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat.
Suri rumah itu berkata, rempuhan terbabit menyebabkan tembok dinding setinggi lebih dua meter dengan panjang 20 meter itu roboh dan menyebabkan tingkap dua bilik anak perempuannya turut pecah.
“Jika diingatkan semula, saya terjaga tidur disebabkan bunyi kereta menekan brek yang kuat disusuli bunyi hentaman yang mengejutkan kami sekeluarga.
“Kereta Honda yang dipandu seorang lelaki itu merosakkan tanaman pokok saya sebelum merempuh dinding. Jika tidak kerana tanaman pokok itu, pastinya kerosakan akibat hentaman itu lebih dahsyat lagi.
“Mujur juga semasa kejadian, berlakunya terputus bekalan elektrik di kawasan perumahan ini dan tiga anak saya tidur di ruang tamu. Jika tidak, saya tidak tahu apa yang berlaku terhadap mereka,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Mengimbas kembali kejadian tersebut, rumahnya yang terletak berhampiran Lebuhraya Pasir Gudang Dua dari arah Permas Jaya dalam keadaan gelap setelah lampu jalan sudah lebih setahun tidak berfungsi.
Poh Lian berkata, pelanggaran itu tidak mendatangkan bahaya kepada pemandu berkenaan apabila dia hanya mengalami kecederaan ringan setelah menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Katanya, dia dan suaminya, Won Che Bok, runsing setelah terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM60,000 selain bimbang akan keselamatan anak-anaknya tambahan pula bilik anaknya yang berusia 16 hingga 18 tahun itu perlu dikosongkan.
“Lebuh raya ini laluan utama kenderaan termasuk kenderaan berat dengan kelajuan 80 kilometer sejam. Setiap kali kenderaan berat melalui lebuh raya di belakang rumah, pastinya kami ketakutan bimbang kejadian sama berulang.
“Apa yang saya harapkan sekarang ini ialah agar pihak berwajib dapat memasang penghadang jalan raya di kawasan belakang rumah kami selain memastikan lampu jalan berfungsi,” ujarnya.
Jelasnya, dia telah membuat aduan kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan masalah itu, tetapi sehingga kini mereka tidak ada jawapan dan jaminan diberikan. – UTUSAN ONLINE