fbpx

Masalah internet lemah terus berlarutan

NORHAYATIE Osman terpaksa keluar dari kawasan rumahnya untuk mendapatkan kelajuan internet yang lebih baik di Kampung Seri Kesinai, Batu 19, Padang Besar, Perlis. – UTUSAN/NAZLINA NADZARI

KANGAR: Masalah capaian internet khususnya kawasan luar bandar di negeri ini antara yang kerap disuarakan ibu bapa yang kecewa apabila sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) anak-anak mereka sering terganggu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Penggerak Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) negeri, Prof. Madya Dr. Abdul Jalil Ramli berkata, ibu bapa sering menyuarakan masalah tersebut setiap kali perjumpaan dan perkara terbabit telahpun dipanjangkan kepada pihak bertanggungjawab sebelum ini, namun, isu berkenaan tidak pernah selesai.

Katanya, masalah capaian internet lemah sangat memberi kesan kepada proses PdPR memandangkan internet adalah perkara asas untuk tujuan pembelajaran dalam talian itu.

Jelasnya, kawasan bandar seperti Kangar mungkin tidak menghadapi masalah, namun kawasan-kawasan luar bandar seperti Simpang Empat dan sebagainya masih menghadapi masalah capaian internet.

“Meskipun kita sudah ada kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti kawasan menghadapi masalah dan pihak SKMM juga sudah menaik taraf, masih tidak memenuhi hasrat pengguna.

“Jika menggunakan peranti secanggih mana sekali pun, jika masalah capaian internet berterusan lemah, ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah,” katanya.

ABDUL JALIL RAMLI

Sementara itu, Abdul Jalil berkata, ibu bapa sangat berharap kerajaan dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut melalui kerjasama dengan SKMM dan pihak syarikat telekomunikasi (telco) bagi meningkatkan capaian internet agar boleh diterima baik oleh seluruh rakyat di negeri ini.

Katanya, meskipun Perlis kecil, namun jika masalah itu tidak dapat diselesaikan akan menyebabkan negeri ini terus ketinggalan.

“Internet adalah antara perkara asas pada zaman ini namun jika masalah capaian internet masih lemah, pakai peranti apa sekali pun tidak bermakna. Lagipun, dalam suasana hari ini, pelajar banyak belajar secara dalam talian yang memerlukan capaian internet baik.

“Kita sangat berharap pihak berwajib pastikan capaian internet berada dalam keadaan baik yang memudahkan pengguna. Dalam masa sama, pihak persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) juga akan sentiasa membantu,” katanya.

Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau, Khalid Ahmad pula berkata, berikutan masalah capaian internet yang lemah khususnya di kawasan luar bandar menyebabkan para pelajar yang mengikuti proses PdPR mula putus asa.

KHALID AHMAD

Katanya, pelajar di luar bandar cukup bersemangat untuk mengikuti proses pem­belajaran secara dalam talian namun masalah capaian internet lemah mengganggu mereka.

“Bagaimana tidak putus asa, kadangkala hendak memuat naik sesuatu bahan pembelajaran juga memakan masa yang lama dan itu tidak termasuk menggunakan aplikasi google meet dan sebagainya.

“Kadangkala dilihat mereka (pelajar atau murid sekolah rendah) mula berasa bosan untuk belajar dalam talian ini apabila internet selalu lemah dan akhirnya mereka akan jauh ketinggalan berbanding pelajar bandar.

“Antara kawasan-kawasan luar bandar yang dikatakan se­ring menghadapi masalah ini selalu di Sanglang, Simpang Empat, mukim Kurung Anai dan sebagainya. Saya harap, ca­paian internet ini dipertingkatkan khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Seterusnya, Khalid turut mencadangkan pusat-pusat internet diperbanyakkan di kawasan-kawasan luar bandar bagi membantu pelajar terbabit.

 

TERPAKSA KELUAR RUMAH HANYA UNTUK AKSES E-MEL

PADANG BESAR: Terpaksa keluar rumah mencari kawasan yang mempunyai liputan internet le­bih kuat semata-mata untuk mengakses e-mel bagi urusan kerja.

Itu antara dilema dihadapi Norhayatie Osman, 31, dari Kampung Seri Kesinai, Batu 19, di sini berikutan masalah capai­an internet di kawasannya.

Masalah sama turut menghantui penduduk di sekitar kawasan berkenaan yang sudah terlalu lama memendam rasa ekoran masalah yang entah sampai bila akan selesai.

Meskipun kawasan Padang Besar sudah mempunyai liputan Unifi, namun kelajuannya yang masih lemah menyebabkan penduduk berfikir berulang kali untuk melanggannya kerana ia tidak berbaloi.

Norhayatie yang bekerja sebagai kerani berkata, biasanya liputan internet di kawasan kampung tersebut adalah 3G dan kadangkala langsung tidak ada liputan.

“Kalau dapat ‘line’ 4G, kadang-kadang ‘bar’ tidak ada pun. Untuk guna aplikasi Whats­App itu bolehlah lagi tetapi jika mahu buat panggilan vi­deo, menonton video atau muat turun fail daripada e-mel agak susah dan terganggu.

“Pernah pada hari cuti saya perlu akses e-mel kerja sampai saya terpaksa keluar daripada kawasan rumah ini dan ke kawasan lain untuk mendapatkan akses internet,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Norhayatie berharap pihak bertanggungjawab dapat mencari kaedah meningkatkan kelajuan internet supaya penduduk yang tinggal di kawasan kampung dapat akses internet sama seperti mereka yang tinggal di bandar.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Francis Khaw Hock Kong berkata, terdapat maklum balas daripada penduduk setempat bahawa mereka sangat terjejas akibat akses internet yang lembab itu.

Katanya, penduduk terutamanya yang mempunyai anak-anak mengikuti sesi pe­ngajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) juga berdepan masalah besar.

“Bagi golongan yang bekerja pula, mereka berdepan gangguan internet semasa mesyuarat, menjalankan jualan dan panggilan semasa dalam talian. Ini pastinya mengganggu urusan harian.

“Tambahan pula, kita kini dalam pandemik Covid-19 yang mana kebanyakan urusan dilakukan melalui dalam talian. Padang Besar ini sepatutnya adalah pekan, tetapi masalah kelajuan internet itu masih ada.

“Jika ingin dibandingkan dengan Thailand, akses internet mereka lebih baik daripada kita. Jadi saya berharap, pihak berkaitan dapat berusaha me­ningkatkan lagi kelajuan internet di kawasan-kawasan yang masih lagi lemah,” katanya.

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!