Masalah dalaman parti tertentu punca kemelut Melaka, Noor Effandi gugur ahli Bersatu - Utusan Malaysia

Masalah dalaman parti tertentu punca kemelut Melaka, Noor Effandi gugur ahli Bersatu

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpendapat kemelut politik di Melaka berpunca daripada masalah dalaman parti tertentu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keadaan bertambah parah apabila terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan tanpa memikirkan kebajikan rakyat dan kepentingan negara yang masih dalam proses pemulihan Covid-19.

Katanya, Biro Politik melahirkan rasa amat kecewa kecewa dengan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menarik sokongan sehingga membawa kepada pembubaran DUN Melaka.

“Biro Politik Bersatu berpendirian kemelut politik di Melaka perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan Negeri Melaka dan Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kepentingan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Bersatu bermesyuarat semalam bagi membincangkan perkembangan politik terkini di Melaka.

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron bersama tiga lagi ADUN daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

Selain Idris, tiga lagi wakil rakyat adalah Datuk Noor Effandi Ahmad (PN-Telok Mas), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan Noor Effandi yang menjadi antara empat ADUN yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali digugurkan keahlian Bersatu serta-merta.

Beliau berkata, tindakan gugur keahlian Noor Effandi dibuat mengikut Fasal 10 Perlembagaan parti..

“Ketetapan itu juga akan disahkan pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN