PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan beliau dan keluarganya hanya diberi masa diberikan masa beberapa jam sahaja untuk meninggalkan Seri Perdana selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lepas.
Beliau berkata, ini berikutan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad percaya bahawa ada banyak rahsia tersimpan di Seri Perdana itu.
“Pada Ogos 2018, saya tulis surat kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk diberi kebenaran mengambil balik barang peribadi, hadiah, cenderamata dan perabot yang dibeli dengan duit sendiri dari Seri Perdana, tetapi surat saya tidak dibalas.
“Pada Ogos 2019, saya sekali lagi ulang surat untuk permintaan yang sama. Selepas 14 bulan kemudian pada 21 Oktober, JPM baru membalas dan menyatakan mereka bersetuju dengan syarat hanya senarai barang-barang termasuk perabot yang dapat dibuktikan adalah dibeli oleh saya dan bukan aset kerajaan dibenarkan dan senarai tersebut diperiksa serta diluluskan JPM,” katanya dalam satu hantaran Facebook semalam.
Sehubung dengan itu katanya, JPM pun menulis satu lagi surat pada 18 November lepas kepada beliau untuk menyuruhnya mengangkat semua barang-barang peribadinya dan diberi tempoh masa dua minggu untuk menyelesaikan pemindahan sebelum 3 Disember 2020.
“Projek naik taraf difahamkan diluluskan bulan Januari lepas dan kerja fizikal naik taraf bermula bulan Mac 2021. Masa itu, staf saya pelik kenapa tiba-tiba kita disuruh untuk ambil balik barang-barang tersebut dengan begitu laju.
“Rupa-rupanya seorang pengurus baharu Seri Perdana dilantik (yang kami diberitahu merupakan saudara Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan mereka memberitahu kita bahawa Muhyiddin ada rancangan untuk menaik taraf Seri Perdana sebab beliau mahu pindah ke sana.
“Antara cadangan mereka ialah untuk memperluaskan bahagian dapur sebab mereka kata ruang dapur sedia ada terlalu kecil. Itulah cerita sebenarnya,” katanya.
Tambah ahli Parlimen Pekan itu, pihaknya hanya dibenarkan untuk keluarkan barang-barangan daripada senarai muktamad diluluskan dan diberi JPM dan bukan mengikut suka hatinya.
“Hanya mereka yang tertipu dengan manifesto bukan kitab PH (ditulis oleh Ketua Penerangan Bersatu) sahaja yang percaya bahawa saya mengambil balik barang peribadi, perabot dibeli sendiri yang sudah lama dan hadiah diberi kepada saya memaksa kerajaan Muhyiddin untuk luluskan ubah suai serta naik taraf kediaman Seri Perdana dengan jumlah RM38.5 juta oleh seorang yang kononnya tiada niat untuk tinggal di sana.
“Habis itu mahu belanja RM38.5 juta untuk apa? Untuk dibiarkan kosong tanpa sesiapa mahu duduk di sana?,” soalnya.
Katanya, semua pihak dinasihatkan untuk menggunakan beliau sebagai alasan sekiranya ia niat untuk belanja RM38.5 juta untuk kediaman pada ketika sendiri beritahu rakyat bahawa kerajaan tidak mempunyai banyak wang lagi untuk bantu rakyat.
“Lagipun, perabot-perabot lama dibeli saya yang JPM arahkan untuk kami keluarkan dari Seri Perdana masih simpan di gudang sebab saya masih berpuas hati dengan perabot saya di rumah saya. Tak digunakan langsung.
“Jika kerajaan ada niat, saya setuju untuk berikan secara percuma kepada kerajaan. Hanya perlu berhubung dengan pegawai saya dan datang gudang untuk pilih,” katanya. – UTUSAN ONLINE










