GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang melaksanakan pemindahan dan bantuan perubatan kepada seorang kru kapal yang tidak sedarkan diri ketika kapal mereka dalam perjalananan menuju ke Pelabuhan Pulau Pinang semalam.
Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Ankara, Turki berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 5.25 petang semalam.
Katanya, sejurus selepas menerima maklumat tersebut, bot PERKASA 1221 diatur gerak serta-merta ke lokasi kecemasan di sekitar 62 kilometer barat daya Pulau Kendi bagi melaksanakan pemindahan dan bantuan perubatan kepada mangsa.
“Bot PERKASA 1221 tiba di lokasi kejadian sekitar pukul 6.33 petang dan mangsa dipindahkan dari kapal ke bot untuk dibawa ke jeti Polis Marin Batu Uban sebelum dihantar ke hospital.
“Mangsa, Dogan Serafettin, 60, merupakan warga Turki segera dibawa ke Hospital Pantai Pulau Pinang (HPP) sebaik sahaja tiba di jeti untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, Maritim Negeri Pulau Pinang meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.