Manfaat lebihan jam kredit dengan program persiap pelajar

Manfaat lebihan jam kredit dengan program persiap pelajar

MOHAMMAD SHATAR SABRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Universiti Awam (UA) disaran memanfaatkan fleksibiliti diberikan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkaitan lebihan jam kredit dengan menawarkan program yang mampu melengkapkan pelajar menghadapi dunia pekerjaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pembangunan program standard MQA mengambil kira fleksibiliti dalam penawaran program yang mana jam kredit ditetapkan untuk kursus teras atau wajib di IPT diminimumkan.

Katanya, bagi memberi peluang kepada institusi pengajian tinggi (IPT) untuk mereka bentuk program yang dirasakan relevan seterusnya mempersiapkan pelajar untuk lebih berdaya saing selepas tamat pengajian.

“Contohnya, program sarjana muda mempunyai lebihan 20 hingga 30 jam kredit yang boleh digunakan untuk penawaran kursus yang relevan mengikut acuan IPT.

“Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) kini sedang giat menawarkan program sedemikian berdasarkan permohonan yang dibuat kepada pihaknya, justeru UA juga perlu merebut peluang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan Sesi Jelajah MQA ke IPT di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Perlis, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pihaknya sering mengingatkan bahawa graduan kini tidak boleh bergantung pada kelayakan akademik semata-mata untuk bersaing dalam pasaran kerja.

Katanya, kini, kelayakan akademik menjadi sebahagian daripada asas utama yang perlu dimiliki graduan, namun untuk menentukan jaminan kerjaya, pelajar perlu dipersiapkan dengan nilai tambah dalam diri masing-masing.

“MQA selalu menitikberatkan mengenai kemahiran insaniah, misalnya menerusi penguasaan pelbagai bahasa, kepemimpinan, kemahiran berfikir secara kritis dan penyelesaian masalah.

“Semua elemen itu ialah perkara yang perlu diberi penekanan IPT di negara ini supaya mereka mampu mempersiapkan pelajar lebih bersedia selepas tamat pengajian,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, kunjungan delegasi MQA turun padang ke IPT mencerminkan tahap keseriusan badan akreditasi itu mengenai jaminan kualiti pengajian tinggi di negara ini.

Katanya, pelbagai inisiatif baharu disarankan MQA terutama ketika situasi pandemik Covid-19.

“Semua usaha itu dilakukan bagi IPT meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) misalnya penawaran micro-credential dan pelaksanaan PdP menerusi mod pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL).

“Sesi turun padang ini memberikan peluang kepada IPT untuk bertanya dengan lebih dekat lagi kepada MQA mengenai akreditasi program, inisiatif serta dasar atau pengumuman baharu MQA,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya