KUCHING: Kawasan Parlimen Puncak Borneo bakal mendapat liputan jalur lebar lebih meluas tahun depan berikutan kerja pemasangan jaringan kabel gentian optik yang sedang giat dilaksanakan di kawasan tersebut.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata, beliau berpuas hati dengan perkembangan terkini status pemasangan kabel gentian optik di kampung-kampung dan taman-taman perumahan di kawasan tersebut.
“Pelaksanaan yang telah kita rancang telah pun berjalan lancar, dan saya berharap ia dapat dimanfaatkan oleh penduduk dikawasan sekitar terutamanya institusi pendidikan di kawasan ini agar tiada sebarang gangguan berlaku,” katanya.
Beliau ditemui selepas mendengat taklimat khas oleh pihak Telekom Malaysia (TM) Sarawak mengenai status permohonan jaringan jalur lebar bagi seluruh kawasan kampung dan taman perumahan di kawasan Parlimen Puncak Borneo. Permohonan mengenai pemasangan kemudahan tersebut dibuat pada awal tahun 2019.
Semasa taklimat itu, Willie yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo berpendapat supaya TM dapat mengambil kira keperluan menyediakan satu pakej harga langganan yang mampu milik supaya orang kampung tidak dibebani bayaran langganan bulanan yang terlalu tinggi.
Menurut Willie, penduduk di kawasan yang kini boleh melanggan perkhidmatan jalur lebar ialah Kampung Bratan, Duras, Pusat Latihan Polis (Pulapol), Penjara Puncak Borneo, Klinik Kesihatan Bayur, Pejabat Daerah Kecil Padawan, Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS), Pasar Siburan, SMK Tarat, Taman Tarat Mas, Kampung Rayang, Taman Muhibbah Tarat, Beratok, Siniawan, Buddhist Village dan Taman Siniawan.
“Liputan di semua kampung dan taman perumahan lain dalam kawasan Parlimen Puncak Borneo sedang giat diperluaskan dan disasarkan dilaksanakan secara menyeluruh pada akhir tahun 2022,” kata Willie kepada Utusan Malaysia.
Turut hadir semasa taklimat tersebut ialah pengurus TM Sarawak Abdul Rahman Taha, Ketua Unit (Network) Sarawak Jafer Sadiq Abdul Latiff, Ketua Zon Kuching (perniagaan) Nazarihan Khalit dan Ketua Zon Stampin (perniagaan) Monica Redeem Henry Rigit.- UTUSAN ONLINE