SABAK BERNAM: Kegiatan haram lima lelaki termasuk seorang bekas anggota polis melakukan pemerasan dengan menyamar sebagai pasukan keselamatan itu tumpas apabila diberkas di sekitar daerah ini, Jumaat lalu.
Suspek berusia 21 hingga 43 tahun itu dikatakan mengaut wang daripada peniaga dengan melakukan penyamaran berkenaan.
Kelicikan mereka termasuk bekas anggota berpangkat koperal itu berakhir selepas ditahan di depan sebuah bank di pekan Sekinchan, kira-kira pukul 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, penahanan itu dilakukan selepas pihaknya menerima lima laporan peniaga yang mengalami kerugian ribuan ringgit.
Katanya, suspek dipercayai menggunakan taktik dengan memasuki premis mangsa kononnya mahu melakukan pemeriksaan.
“Pemeriksaan itu dilakukan untuk mengesan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Suspek kemudian melakukan pemerasan dengan mengugut mangsa supaya membayar sejumlah wang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini, petang tadi.
Jelas Agus Salim, kejadian pertama menimpa seorang peniaga kedai runcit di Pekan Batu 39 di sini, 14 Oktober lalu.
“Suspek didakwa menarik mangsa ke dalam kedai sambil mengeluarkan gari dan memaklumkan peniaga itu melakukan kesalahan.
“Dua suspek kemudian bertindak mengambil sejumlah wang dalam laci kaunter dan beredar daripada premis itu,” katanya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati bekas anggota polis itu pernah berkhidmat di sebuah balai polis di Perak dan ditamatkan perkhidmatan tahun lalu.
“Semakan mendapati suspek turut memiliki lima rekod jenayah lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (KK) serta Seksyen 89 (a) Akta Polis 1967,” katanya. – UTUSAN ONLINE










