TAWAU: Seorang lelaki maut selepas terjun dari tingkat lima sebuah pusat membeli-belah di Jalan Kuhara, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, mangsa berbangsa Cina berusia 38 tahun dipercayai terjun dari ruang tingkat lima bangunan tersebut bagi tujuan membunuh diri.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Peter Ak Umbuas berkata, mayat mangsa ditemukan pengawal keselamatan di kaki lima pusat membeli-belah itu kira-kira pukul 6 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal di lokasi mendapati seorang mangsa lelaki dalam keadaan terlentang di kaki lima bangunan berkenaan. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan terdapat kesan darah di sekelilingnya. Turut ditemukan sebuah beg mengandungi pakaian dipercayai milik mangsa.
“Siasatan lanjut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan itu mendapati ternampak kelibat mangsa berjalan masuk ke dalam bangunan dan berada di tingkat lima bangunan tersebut.
“Walau bagaimanapun, pergerakan mangsa terjun dari bangunan tidak dirakam oleh CCTV kerana kawasan parkir tempat mangsa terjun tidak mempunyai CCTV,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Peter berkata, pihaknya masih mengenal pasti punca mangsa terjun dari bangunan dan pemeriksaan fizikal tidak dapat dilakukan sehingga mendapat keputusan saringan Covid-19.
Mayat mangsa kini ditempatkan di bilik mayat Hospital Tawau dan siasatan masih diteruskan. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).-UTUSAN ONLINE










