JOHOR BAHRU: Seramai 15 individu ingkar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri ini apabila asyik berhibur di sebuah kedai makan di Jalan Molek, Johor Jaya, semalam.
Bagaimanapun, keseronokan kesemua individu itu termasuk seorang warga emas 60 tahun itu terbantut apabila premis terbabit diserbu polis kira-kira pukul 9.30 malam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30 hingga 60 tahun itu ditahan kerana terlibat dalam aktiviti hiburan dan melanggar SOP ditetapkan.
“Mereka dikesan melanggar SOP Fasa 2 PPN. Tangkapan terdiri daripada 11 lelaki dan dan tiga wanita tempatan serta seorang lelaki warga asing.
“Penjaga premis dikenakan kompaun RM25,000 atas kesalahan melakukan aktiviti hiburan dan dibebaskan dengan ikat jamin polis, manakala 13 warga tempatan itu dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Suhaimi berkata, kompaun dikenakan terhadap mereka kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial ketika di dalam premis, manakala warga asing itu pula direman selama 14 hari atas kesalahan tinggal lebih masa.
Katanya, menerusi serbuan berkenaan, polis merampas satu unit digital amplifier, satu unit ‘mixing console’, dua unit mikrofon, satu unit pembesar suara dan tiga keping resit perniagaan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (1) Akta Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021
Selain itu katanya, disiasat di bawah Seksyen 6(2) Enakmen Negeri Johor yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Polis menegaskan kepada orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP Fasa 2 PPN dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat awam dan tidak menjalankan sebarang aktiviti-aktiviti hiburan. Tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang ingkar,” katanya. – UTUSAN