Lawatan rasmi Saifuddin ke Indonesia selama empat hari

Lawatan rasmi Saifuddin ke Indonesia selama empat hari

SAIFUDDIN Abdullah pernah bertemu Retno Marsudi ketika lawatan kali pertama ke Jakarta pada 2019 lepas. – XINHUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan lawatan secara rasmi ke Jakarta, Indonesia diiringi para pegawai Wisma Putra bermula hari ini sehingga Rabu depan.

Menurut kenyataan akhbar Kementerian Luar di sini, lawatan berkenaan merupakan julung kali dilaksanakan sejak pelantikan semula beliau sebagai menteri pada 30 Ogos lalu.

“Beliau akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Indonesia, Joko Widodo selain bertemu rakan sejawatan, Menteri Luar Indonesia, Retno L.P. Marsudi,” kata kenyataan itu.

Wisma Putra menambah, Saifuddin juga dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Paduka Lim Jock Hoi di Wisma Sekretariat ASEAN di sana melibatkan perbincangan dengan Jawatankuasa Perwakilan Tetap ASEAN dan juga disusuli pelbagai program lawatan lain termasuk sesi forum interaktif.

Antaranya bersama Universitas Paramadina di Jakarta Selatan yang diasaskan cendekiawan Islam terkenal republik itu, Allahyarham Prof. Dr. Nurcholis Madjid dengan dua yayasan wakaf.

Selain itu, Saifuddin juga akan bertemu dengan kelompok anggota Foreign Policy Community of Indonesia, Kamar Dagang Indonesia serta para pelajar dan diaspora Malaysia di Jakarta.

“Lawatan rasmi ini turut mencerminkan hubungan akrab dan komprehensif antara Malaysia dan Indonesia sebagai negara jiran terdekat yang terjalin sejak merdeka selain memberi peluang kepada kedua-dua pihak meneroka kerjasama baharu dalam fasa pemulihan pasca pandemik serta membincangkan cabaran serantau dan sejagat,” katanya.

Dua negara itu menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Negara Membangun (D8) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Untuk rekod, Saifuddin pernah melakukan lawatan rasmi ke Indonesia selama tiga hari bermula 19 Julai 2019 lalu ketika menerajui kementerian ini di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Semua acara lawatan dirancang dan dilaksanakan selaras dengan tatacara dan prosedur operasi standard pencegahan Covid-19 ditetapkan pihak berkuasa kedua-dua negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN