Kurang pekerja asing, restoran nasi kandar tertekan teruskan operasi

Kurang pekerja warga asing, restoran nasi kandar tertekan teruskan operasi

MASALAH kekurangan pekerja serta pematuhan SOP penjarakan sosial menyebabkan pelanggan restoran nasi kandar Hameediyah, Georgetown, Pulau Pinang terpaksa beratur panjang untuk menuggu giliran bagi menjamu selera di restoran berusia lebih 100 tahun itu. - FOTO/MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kira-kira 200 pengusaha restoran nasi kandar di Pulau Pinang kini tertekan untuk meneruskan perniagaan mereka disebabkan kehilangan hampir separuh pekerja khususnya warga asing. 

Lebih memburukkan keadaan apabila mereka turut perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 bagi mengelakkan di kompaun pihak berkuasa yang disifatkan terlalu ketat. 

Sehubungan itu, meskipun kebenaran rentas negeri dan ‘dine in’ kepada pengusaha restoran ketika ini merupakan rahmat kepada perniagaan mereka, namun dalam masa sama ia juga meletakkan pengusaha berkenaan dalam dilema disebabkan kekurangan pekerja. 

Menurut Presiden Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan, ketika ini hanya terdapat kira-kira 20,000 pekerja asing yang bekerja dalam sektor makanan tersebut di negeri ini berbanding 40,000 orang sebelum berlakunya pandemik Covid-19. 

Tambahnya, kekurangan pekerja itu menyebabkan terdapat sebahagian pengusaha restoran nasi kandar masih belum dapat membenarkan pelanggan untuk makan di kedai masing-masing sehingga kini. 

“Bagi pengusaha yang membenarkan aktiviti makan di kedai pula, mereka berdepan masalah untuk memberikan perkhidmatan sempurna kepada pelanggan. 

“Ini kerana selain melayan pelanggan, pekerja juga perlu ditugaskan untuk memastikan pelanggan mematuhi SOP seperti penjarakan sosial, mencatit suhu, mengimbas MySejahtera dan sebagainya bagi mengelak dikompaun,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Sehubungan itu, tambah Mohamed Ridzwan, pihaknya menggesa kerajaan mempercepat dan mempermudahkan urusan kemasukan semula pekerja asing dalam sektor makanan tersebut dalam menyokong kelangsungan perniagaan mereka. 

Tambah beliau, kebanyakan pekerja warga asing itu yang dihantar pulang ketika pandemik Covid-19 kini sudah bersedia untuk kembali bekerja semula di negeri ini, namun terhalang disebabkan larangan rentas negara dan sebagainya. 

Jelas beliau, pihaknya juga ada membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja itu namun tidak mendapat sambutan kerana ramai yang tidak berminat. 

“Tawaran pekerjaan kepada penduduk tempatan ini sentiasa terbuka dan jika ada yang berminat boleh menghubungi kami. 

“Selain gaji pokok sebanyak RM1,800, mereka juga akan mendapat faedah asas lain seperti caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya. 

“Dengan tambahan bayaran kerja lebih masa yang lebih tinggi untuk pekerja tempatan, mereka boleh mendapat pendapatan bulanan sekitar RM2,000 hingga RM2,500 sebulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya