KPKT komited pulih projek terbengkalai di Taman Selayang Mutiara

KPKT komited pulih projek terbengkalai

REEZAL MERICAN NAINA MARICAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Projek Perumahan Taman Selayang Mutiara yang terbengkalai kira-kira 15 tahun lalu dijangka akan lalui proses pemulihan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah mengadakan lawatan turun padang meninjau dan mengumumkan langkah pemulihan projek perumahan swasta yang terbengkalai itu semalam.

Menurut Reezal Merican, projek Perumahan Taman Selayang Mutiara, Selangor itu merupakan sebuah projek perumahan di bawah Delpuri Corporation Sdn. Bhd (DCSB) dan sepatutnya disiapkan pada 10 Mac 2006.

“Ia patut siap lama dahulu namun, projek perumahan ini telah disahkan terbengkalai oleh Menteri KPKT pada 18 Februari 2013 selaras dengan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Perlesenan) 1966 [Akta 118].

“DCSB telah dikenakan perintah penggulungan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Projek Perumahan Selayang Mutiara Blok Kristal ini yang merupakan rumah pangsa kos sederhana rendah agak sukar untuk dipulihkan kerana terdapat pelbagai isu di tapak projek seperti isu penduduk setinggan, perkongsian infrastruktur dan isu status tanah bagi tangki air, loji rawatan dan kawasan lapang,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Turut serta dalam tinjauan tersebut ialah Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Keusahawanan Selangor, Rodziah Ismail; Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Datuk Azhar Ahmad; Ketua Pengarah, Jabatan Perumahan Negara (JPN), N. Jayaselan; Pegawai Daerah Gombak, Nor Azlina Abdul Aziz dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Mohd. Yazid Sairi.

Tambah Reezal Merican, pihak kerajaan telah mendapatkan kerjasama pihak-pihak berkepentingan seperti Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) termasuk pelikuidasi dalam usaha menyelesaikan isu-isu berbangkit secara bersama sebagai sebuah ‘Keluarga Malaysia’.

“Pada masa ini, KPKT telah pun selesai melaksanakan proses perolehan bagi memulihkan Blok Kristal yang terdiri daripada 500 unit termasuk satu unit taska dan satu unit surau. Kontraktor Sunissa Sdn. Bhd telah dilantik sebagai kontraktor penyelamat pada 11 Jun 2021 dengan tempoh kontrak selama dua tahun.

“Seramai 488 pembeli dan keluarga yang tidak bernasib baik ini akan mendapat manfaat setelah rumah mereka disiapkan pada pertengahan tahun 2024,” katanya.

Secara keseluruhannya, kini terdapat sebanyak 78 projek perumahan swasta meliputi 17,605 unit rumah dan melibatkan seramai 11,735 orang pembeli telah disahkan sebagai terbengkalai di Semenanjung Malaysia selaras dengan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118].

Reezal Merican berkata KPKT sedang meneliti semua projek perumahan yang sakit, lewat dan terbengkalai melalui penubuhan sebuah War Room yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

“War Room ini antara lain berperanan melihat usaha bersepadu untuk memulihkan semula projek-projek terbengkalai agar boleh didiami selaras dengan matlamat Malaysia Berdaya Huni yang digagaskannya.

KPKT mensasarkan tujuh projek terbengkalai dapat dipulihkan pada tahun 2021 menerusi pendekatan rundingan, mudah cara dan penguatkuasaan. Sehingga kini, sebanyak empat projek telah berjaya dipulihkan dan tiga projek lagi dijangka selesai menjelang akhir 2021,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya