fbpx

8 Disember 2021, 2:49 pm

  TERKINI

Dakwaan Klang tidak selamat diduduki tidak benar – Yang Dipertua MPK

AHMAD Fadzli Ahmad Tajuddin (dua dari kiri) bersama barisan panel dalam Program Jendela Klang: Klang Selamat atau Tidak? di Auditorium Raja Ismail di MPK, Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Penyebaran berita mendakwa daerah ini antara bandar berbahaya di Asia adalah tidak benar sama sekali dan ditulis tanpa fakta kesahihannya. 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, masyarakat dapat menilai kesahihan isu yang menjadi tular berdasarkan pemerhatian umum dan sumber teknologi sedia ada.

Katanya, penyebaran maklumat tidak tepat bukan saja menjatuhkan imej ‘pencetus’ tular itu malah memberi persepsi negatif kepada lokasi yang dinyatakan.

“Berita itu membuka banyak mata bahawa tidak semua perkara tular adalah benar dan ia sesuatu yang tidak beretika.

“Meletakkan Klang sebagai bandar berbahaya di Asia dianggap keterlaluan dan kajian dilakukan juga boleh diragui berdasarkan sumber yang diguna pakai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, beliau antara panel yang menyertai program Jendela Klang bertajuk ‘Klang, Selamat Atau Tidak’  di Auditorium Raja Ismail MPK, di sini. Turut hadir adalah Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Pada 4 Oktober lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis menafikan laporan sebuah laman sesawang yang mendakwa Klang disenaraikan sebagai bandar paling tidak selamat di Asia Tenggara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menegaskan berita bahawa Klang turut memiliki kadar keselamatan paling rendah itu disifatkan mengelirukan dan tidak benar sama sekali.

Jelas Ahmad Fadzli, isu keselamatan di Klang ditangani secara bersepadu oleh semua agensi mengikut skop tugasan masing-masing.

“Selain itu, fakta menunjukkan bahawa indeks jenayah masih terkawal. MPK sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa terutama polis dalam memastikan bandar diraja ini selamat diduduki selaras dengan konsep Klang Sejahtera,” ujarnya.

Isu indeks jenayah di Klang tular apabila sebuah laman web, Numbeo.com memaparkan laporan indeks jenayah di Asia Tenggara menunjukkan tiga bandar utama di negara ini seperti Klang, Selangor; Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor berada dalam lima teratas sebagai bandar paling tidak selamat di rantau ini.

Laporan itu turut menunjukkan dua bandar lain berada dalam lima teratas adalah dua bandar utama di Filipina iaitu Manila dan Quezon City, sementara negara jiran seperti Pattaya dan Bangkok di Thailand berada pada kedudukan 11 dan 15 manakala Singapura di tempat ke–20. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI