SHAH ALAM: Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan sebuah kilang penyembur cat di Kawasan Perindustrian Sungai Rasah di sini, daripada musnah terbakar sepenuhnya hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu mengakibatkan 50 peratus kebakaran sekali gus tidak merebak ke kawasan berdekatan lain.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.02 pagi.
Katanya, operasi pemadaman itu disertai sepasukan 34 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam, Sungai Pinang, Kota Raja dan Subang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati api sedang marak di bangunan kilang kelas B berkenaan.
“Anggota bomba menerusi beberapa jentera kemudian segera memadamkan kebakaran yang berjaya dikawal pada pukul 6.37 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Hafisham, tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu.
“Nilai kerugian dan punca sebenar kejadian juga masih dalam siasatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










