PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara telah mengkaji dan meneliti kertas siasatan berkaitan kes kehilangan wang AS$6.94 juta yang diterima pada 28 September lalu daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam satu kenyataan, jabatan berkenaan mendapati wujud kesalahan-kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut dilakukan agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Kertas siasatan telah dikembalikan untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara menerima kertas siasatan kes kehilangan wang bernilai kira-kira RM29 juta itu membabitkan pegawai kanan SPRM daripada agensi berkenaan.
Jabatan Peguam Negara memberitahu, pihaknya akan mengkaji dengan teliti dan menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibuat sama ada untuk membuat pertuduhan atau mengeluarkan arahan untuk siasatan lanjut.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan berhubung laporan polis yang dibuat berkaitan isu berkenaan.
Menurutnya, kertas siasatan dibuka di bawah klasifikasi Kertas Enkuiri Polis selepas SPRM menahan tiga pegawainya berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.
Hasil siasatan SPRM ke atas tiga pegawainya membawa kepada penyitaan sebuah rumah dan beberapa kenderaan mewah yang dianggarkan bernilai RM1.6 juta dan kesemua harta yang disita ialah sebuah rumah di Selangor, dua buah motosikal jenis Ducati, kereta Mercedes Benz (1) dan Honda Type R (1).
Rumah dan semua kenderaan tersebut dipercayai milik kepada pegawai SPRM berpangkat penguasa kanan gred 44 berusia 40 tahun.
Utusan Malaysia sebelum ini turut mendedahkan selain harta-harta berkenaan, SPRM turut menemukan wang tunai RM50,000 dan beberapa buah kereta mewah di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Penguasa kanan berkenaan turut disyaki terlibat dalam beberapa pelaburan dan pembelian hartanah namun setakat ini pasukan penyiasat sedang mengumpul bukti mengenai aktiviti tersebut. – UTUSAN ONLINE