MELAKA: Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menganggap keputusan UMNO untuk bekerjasama dengan Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah keputusan tersurat parti itu, bukannya daripada Pas.
Beliau berkata, Bersatu juga mengambil maklum keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk tidak bekerjasama dengan mereka, sebaliknya memilih untuk bergabung dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).
Jelasnya, bagaimanapun mana-mana pihak tidak sepatutnya membuat andaian terlalu awal, susulan Pas belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung tawaran berkenaan.
“Kalau daripada apa yang saya baca, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak sebut pun nama parti Bersatu. Kalau ikut daripada penerimaan, pemahaman kita orang biasa, maknanya dia tidak mahu kerjasama dengan Bersatu.
“Saya faham hanya yang tersurat, apa yang mereka (UMNO) mahukan, yang tersirat saya tidak faham. Janganlah kita buat andaian lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja dan perjumpaan tertutup bersama warga kerja polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali.
Terdahulu, MT UMNO pada Selasa lalu mengumumkan keputusan parti itu untuk bekerjasama dengan Pas pada PRN Melaka.
Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020.
Jelasnya, keputusan adalah demi memperkukuhkan MN dalam menghadapi PRN Melaka pada bulan hadapan.










