fbpx

9 Disember 2021, 6:40 pm

  TERKINI

Kerja pemulihan, pembersihan sungai dilaksanakan di Yan

KERJA-KERJA membersihkan sungai yang terlibat dalam bencana kepala air dilakukan di Yan, Kedah. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri melaksanakan kerja-kerja pemulihan dan pembersihan sungai di Yan bagi mengurangkan impak berikutan fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai dekat ini pada 18 Ogos lalu.

Pengarah JPS negeri, Md. Khuzai Hussain berkata, kerja-kerja jangka pendek itu bermula pada pertengahan September lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada awal November depan.

Katanya, sebanyak 11 kerja jangka pendek akan dilaksanakan bagi mengurangkan impak kejadian banjir kilat dan menyelesaikan masalah runtuhan serius yang berlaku sebelum ini.

“Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah banjir sepenuhnya, kelangsungan kepada pelaksanaan segera kerja-kerja pemulihan ini diperlukan bagi memastikan keselamatan nyawa orang ramai, selain mengurangkan kerosakan harta benda.

“Penyelesaian bagi keseluruhan bencana ini terletak di bawah Pelan Pemulihan Jangka Panjang yang masih dalam proses kelulusan pelaksanaan di peringkat kementerian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan mengenai keluhan penduduk di kawasan terlibat yang meminta agar kerajaan bertindak segera bagi mendalamkan sungai di kawasan terlibat.

Penduduk tersebut mendakwa, sungai di kawasan itu kini berubah menjadi cetek sejak berlakunya bencana kepala air pada 18 Ogos lalu hingga menyebabkan berlakunya kejadian banjir termasuk ketika hujan lebat kelmarin.

Mengulas lanjut, Md. Khuzai berkata, sebanyak 11 sungai yang terlibat dalam kerja-kerja tersebut adalah Sungai Seri Perigi, Sungai Setar, Sungai Teroi, Sungai Singkir, Sungai Yan Besar, Sungai Dara Mandi, Sungai Titi Hayun, Sungai Ruat Air, Sungai Raga, Sungai Bakong dan Sungai Batu Hampar.

Katanya, antara skop kerja yang terlibat adalah pengorekan semula sungai yang tertimbus akibat mendapan, penstabilan tebing sungai bagi tempat yang terhakis teruk serta membaik pulih pintu-pintu air yang rosak supaya dapat beroperasi dengan baik.

“Selain itu pihak kami turut mengalihkan, membersih dan membuang halangan pokok, reba serta ranting dan dan dahan yang tersekat di struktur lintasan serta jambatan bagi melancarkan aliran sungai.

“Dalam masa sama, kami turut membaik pulih kawasan rekreasi dengan menyusun semula bongkah-bongkah batu dan membuat semula saluran untuk aliran air berjalan lancar,” katanya.

Tambahnya, setakat ini kerja-kerja tersebut telah 65 peratus siap dengan semuanya berjalan secara serentak melibatkan purata penggunaan satu jentera di satu tapak.

POPULAR

KOSMO! TERKINI