Kerajaan Persekutuan pergiat usaha naik taraf pembangunan Sarawak - Utusan Malaysia

Kerajaan Persekutuan pergiat usaha naik taraf pembangunan Sarawak

KETUA Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (kiri), bersama  Ismail Sabri Yaakob (kanan) meninjau pelan projek Hospital Petrajaya di Kuching, Sarawak, hari ini. - IHSAN JABATAN PENERANGAN SARAWAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam meningkatkan peruntukan dana bagi projek pembangunan di negeri ini.

Perdana Menteri berkata, beliau telah diberi taklimat berhubung pelan pembangunan di negeri ini dan kerajaan Pusat akan melihat bantuan yang boleh diberikan.

“Pada lawatan kali ini, saya telah diberikan taklimat berhubung pelan pembangunan di negeri ini. Kita di peringkat Persekutuan akan melihat bagaimana kita akan bantu kerajaan negeri dari segi peruntukan dana khusus projek yang melibatkan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek  pembinaan Hospital Petrajaya, di sini hari ini.

Justeru, kata Ismail Sabri, kerajaan Persekutuan akan saling berhubung dengan kerajaan negeri dalam mencapai hasrat berkenaan sekali gus meningkatkan taraf ekonomi penduduk  Sarawak.

Sementara itu, semasa  lawatan di Hospital Petrajaya, Perdana Menteri turut diberikan taklimat berhubung pelaksanaan projek menyiapkan hospital berkenaan yang lama tertunda.

“Pada lawatan kali ini saya diberitahu projek menyiapkan hospital ini dijangka siap menjelang  2024. Kita juga mengharapkan agar hospital ini siap mengikut tarikh yang sepatutnya diberikan,” katanya.

Bagi memastikan projek menyiapkan Hospital Petrajaya tepat pada jadual, beliau menegaskan, pemantauan terhadap pelaksanaan projek perlu dilakukan dari masa ke semasa.

“Saya rasa pemantauan kerja itu penting, kalau tak ada pemantauan dibuat dan jika projek itu gagal kita terpaksa mengambil tindakan selepas gagal dengan melantik kontraktor menyelamat.

“Jadi saya tidak mahu itu berlaku kerana melantik kontraktor menyelamat, apa yang penting kontraktor menyelamat yang dilantik itu dipantau sehingga siapnya projek kerana tidak mahu ada isu berlaku peningkatan kos menyiapkan projek hospital ini,” ujarnya.

Perdana Menteri menasihatkan, kontraktor yang dilantik  perlu mempunyai sikap tanggungjawab dalam menyiapkan projek Hospital Petrajaya agar penduduk setempat dapat memanfaatkan fasiliti kesihatan yang lebih banyak serta mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan.

Dalam pada itu, berhubung Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak, sekiranya  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada membentangkan kaedah mengadakan pilihan raya di negeri itu secara selamat, beliau berkata, hanya Yang-di Pertuan Agong  boleh mendahului proses PRN Sarawak.

“Belum lagi, jangan mendahului Yang di-Pertuan Agong. Semuany,a pembubaran dan proses itu tertakluk kepada baginda. Jadi jangan kita mendahulukan kuasa baginda,” katanya.

Terdahulu, desas-desus mengatakan lawatan Perdana Menteri dan beberapa menteri-menteri ke Sarawak sejak Khamis lalu ertujuan membincangkan perkara berkaitan PRN Sarawak. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya