Kekuatan mental senjata utama tewaskan Momota - Utusan Malaysia

Kekuatan mental senjata utama tewaskan Momota

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekuatan mental menjadi senjata utama buat pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia menewaskan jaguh dunia Kento Momota dari Jepun pada separuh akhir Piala Sudirman 2021 awal pagi semalam.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Anergia Areena, Finland menyaksikan Malaysia tewas 1-3 kepada Jepun dan Zii Jia menjadi penyumbang mata tunggal buat kem negara apabila melakar kemenangan 22-20, 21-19 ke atas Momota.

Pemain dari Alor Setar, Kedah itu, turun ketika pasukan negara ketinggalan 0-2 dan dia mengakui sudah bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental kerana tidak mahu tewas buat kali kedua berturut-turut kepada Momota pada kejohanan berkenaan.

“Pertama sekali, memang saya fikir perlu bersedia sepenuhnya dari segi mental sebelum bertemu Momota kerana ia akan jadi perlawanan sukar memandangkan dia sudah kembali menemui sentuhan dan keyakinan.

“Saya juga fikir tidak mahu kalah kepadanya dua kali berturut-turut selepas tewas dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini, jadi saya tidak sia-siakan peluang tersebut,” kata Zii Jia sejurus tamat perlawanan semalam.

Keputusan itu menyaksikan Zii Jia telah menang dua daripada lapan perlawanan ke atas Momota selepas melakukannya sebelum ini pada suku akhir kejohanan All England, Mac lalu.

Tambah pemain berusia 23 tahun itu yang juga kapten pasukan pada saingan Piala Sudirman kali ini mengakui bangga dengan prestasi yang ditampilkan rakan sepasukan sehingga mara ke separuh akhir biarpun dibarisi rata-rata pemain muda.

“Sebenarnya, saya tidak jangka kami boleh bermain seperti ini terutama Hoo Pang Ron-Cheah Yee See ketika bertemu Indonesia. Sebagai kapten pasukan, saya bangga dengan prestasi kami di Finland,” jelasnya.

Selepas ini, pasukan negara akan berangkat ke Aarhus, Denmark bagi menghadapi kejohanan Piala Thomas dan Uber yang dijadualkan berlangsung pada 9 hingga 17 Oktober ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya