Kebakaran gudang cemar Sungai Gong, risiko gangguan bekalan air berpanjangan - Utusan Malaysia

Kebakaran gudang cemar Sungai Gong, risiko gangguan bekalan air berpanjangan

PETUGAS LUAS memeriksa bahan pencemar dari sebuah kilang terbakar dalam longkang yang memasuki saluran ke Sungai Gong di Rawang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Belum pun selesai gangguan bekalan air berjadual di Selangor selama empat hari hingga Sabtu ini, satu insiden pencemaran sungai dikesan berlaku di Sungai Gong, Rawang di sini pada pukul 11 pagi semalam.

Namun, keadaan air sungai dilihat berbuih serta berbau seakan-akan sabun dikesan awal bagi mengelakkan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang yang berisiko berlaku gangguan bekalan berpanjangan.

Siasatan mendapati sungai tersebut tercemar berikutan insiden kebakaran sebuah gudang plastik di Sungai Bakau, Rawang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian, tindakan pantas pemulihan dapat dibuat selepas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan air sisa kebakaran mengalir ke dalam sungai.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 3 pagi.

“Kerja-kerja memadam kebakaran selesai dijalankan pada pukul 4 petang dan siasatan LUAS mendapati, air sisa pemadaman kebakaran tersebut telah memasuki aliran longkang yang berhampiran dan seterusnya ke Sungai Gong.

“LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA Rantau Panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, anggaran jarak lokasi insiden tersebut ke muka sauk Rantau Panjang adalah 13 kilometer dengan tempoh perjalanan sembilan jam untuk bahan cemar sampai ke muka sauk tersebut.

Jelas Loy Sian, pensampelan bau dilaksanakan di dua lokasi berbeza di Sungai Sembah dan Sungai Selangor dan mendapati kadar bau adalah sifar ton sehingga pukul 2.30 petang.

“Walau bagaimanapun, peningkatan bau sehingga 1 ton dikesan pada pukul 6.30 petang di Jambatan Sungai Sembah.

“Oleh demikian LUAS meningkatkan inisiatif pencegahan dengan meletakkan tujuh beg serbuk karbon teraktif di alur longkang sebelum ke Sungai Bakau sebagai langkah kawalan pencegahan pencemaran,” katanya.

Jelasnya, LUAS juga mengaktifkan Operasi Pengepaman Air Kolam, Bestari Jaya dan Hybrid off River Augmentation System (HORAS) 600 dengan jumlah kapasiti 1,070 juta liter sejam (jlh) pada pukul 6.30 petang bagi tujuan untuk meningkatkan faktor pencairan atau dilution factor sungai.

Di samping itu, langkah-langkah mitigasi susulan dan pemantauan rapi dengan pemantauan statik di Sungai Sembah juga dilaksanakan oleh LUAS.

Sehingga pukul 9.30 malam semalam pihak Air Selangor telah mengesahkan bacaan bau di LRA adalah sifar ton dan tiada gangguan kepada operasi LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2 dan SSP3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN