fbpx

Kanak-kanak maut jatuh di hotel mahu ke syurga

ALLAHYARHAM NUR AIRIS HAFEERA FAIZAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia setelah jatuh dari tingkat sembilan sebuah hotel di Tanjung Bunga, Pulau Pinang semalam ada meluahkan keinginan mahu ke syurga.

Ibu mangsa, Siti Norra Salleh, 44, berkata, anak bongsunya itu, Nur Airis Hafeera Faizal, 6, ada menyatakan perkara tersebut mahu ke syurga dua hari lepas.

“Dia ada menyebut tidak sabar nak pergi ke syurga dan saya tidak sangka ia adalah petanda kami akan kehilangannya buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Perdana, di sini, hari ini.

Katanya, arwah juga ada menunjukkan satu lukisan seseorang menangis, baru- baru ini.

“Lukisan itu mungkin anak saya sedih selepas neneknya, Fatimah Man, 81, yang pernah tinggal bersama di rumah ini meninggal dunia akibat strok di Kampung Padang Pulut, Jeneri, Sik dekat sini pada Jumaat lalu,” ujarnya.

Sementara itu, bapa mangsa, Faizal Husain, 44, ketika menceritakan semula kejadian berkata, insiden tersebut berlaku sangat pantas tanpa dia sempat berbuat apa-apa.

Katanya, semua ahli keluarga panik selepas kehilangan Nur Airis Hafeeya di lif dan mula mencarinya di kawasan berkenaan.

“Bagaimanapun, kami kemudian dimaklumkan anak telah terjatuh dan meninggal dunia,” katanya.

Menurut Faizal, ketika kejadian, mereka sekeluarga bermalam di hotel berkenaan sebelum membuat persiapan mahu menghantar anak sulung, Mohammad Nabil Najmi, 22, ke Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Balik Pulau.

Dua anak mereka yang lain, Nur Alya Natasha, 16, dan Faris Ezairy, 11, juga menginap di hotel berkenaan.

Tambahnya, dia menyerahkan siasatan kes itu kepada  polis.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Solihin di Taman Kelisa Ria di sini kira-kira pukul 11 pagi ini.

Akhbar semalam melaporkan kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu berlaku selepas kanak-kanak tersebut meluru memasuki lif ketika pintunya terbuka tanpa sempat disertai ahli keluarganya apabila pintu tertutup dengan pantas.

Bagaimanapun, ahli keluarga mangsa kemudiannya dikatakan cuba mencari kanak-kanak itu kira-kira 10 minit sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri di tingkat satu hotel itu dan meninggal dunia dipercayai selepas terjatuh.  – UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI