Kakitangan sekolah perlu buat ujian air liur Covid-19 secara berkala - Utusan Malaysia

Kakitangan sekolah perlu buat ujian air liur Covid-19 secara berkala

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kakitangan sekolah termasuk kerani dan pekerja am perlu melakukan saringan kendiri air liur Covid-19 secara berkala sepanjang sesi persekolahan secara bersemuka.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin berkata, langkah itu adalah bagi mengawal penularan wabak dalam kalangan kakitangan dan pekerja di sekolah.

“Kita akan memastikan pekerja khidmat sokongan termasuk kerani ini supaya melengkapkan vaksinasi mereka dan melakukan secara berkala ujian kendiri demi keselamatan anak-anak di sekolah,” katanya dalam sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Katanya, kementerian turut membekalkan kit ujian kendiri Covid-19 kepada sekolah berasrama dan sekolah harian di bawah kementerian itu bagi pengoperasian sekolah secara berperingkat mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Khairil Nizam Khirudin berhubung langkah Kementerian Pendidikan dalam mencegah penularan wabak Covid-19 dalam kalangan kakitangan di sekolah.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, tiada lagi alasan untuk guru yang enggan mengambil vaksin memandangkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengeluarkan pekeliling mengarahkan penjawat awam termasuk guru mengambil vaksin.

“Kita sudah arahkan, minta supaya mereka ambil vaksin secara keseluruhannya mengikut pekeliling JPA yang dikeluarkan pada 30 September lalu berhubung syarat vaksinasi lengkap. Dalam arahan itu cukup jelas, mereka kena taat dan ikut,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad berkata, kementerian  telah bersedia untuk menghadapi situasi luar jangka terutama jika berlaku penularan mendadak Covid-19 di sekolah.

“Kita sudah merangka persiapan dan bersedia menghadapi jika berlaku kenaikan kes pada waktu persekolahan.

“Sudah pasti kita amat bimbang dengan situasi ini, namun jaminan kita kepada pelajar yang akan hadapi peperiksaan, kita akan pastikan mereka dapat akses pembelajaran sewajarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya