JPJ periksa 100 bas ekspres di Melaka Sentral - Utusan Malaysia

JPJ periksa 100 bas ekspres di Melaka Sentral

MOHAMAD FIRDAUS Shariff memeriksa aplikasi MySejahtera penumpang di Melaka Sentral, Melaka bagi memastikan hanya individu lengkap dua dos vaksinasi dibenarkan merentas negeri. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri memeriksa lebih 100 buah bas ekspres di Melaka Sentral di sini, susulan peningkatan jumlah perjalanan khususnya ke utara tanah air sejak aktiviti rentas negeri dibenarkan bermula 11 Oktober lalu. 

Pengarahnya, Mohamad Firdaus Shariff berkata, dalam tempoh empat hari Op Rentas itu dilaksanakan, sebanyak 107 buah bas diperiksa dan tiga notis dikeluarkan membabitkan kesalahan tayar. 

“Kita dapat melihat peningkatan jumlah penumpang sekali ganda sejak kebenaran merentas negeri iaitu daripada anggaran 300 penumpang, kini mencecah 700 penumpang setiap hari. 

“Kami sentiasa menjalankan pemeriksaan khususnya di Melaka Sentral bagi memastikan pengendali bas mematuhi segala aspek keselamatan jalan raya. Sejak 11 Oktober lalu, tiga notis  dikeluarkan atas kesalahan tayar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Op Pematuhan Covid-19 di Melaka Sentral di sini, malam tadi. 

Menurut Mohamad Firdaus, peningkatan berkenaan melibatkan perjalanan ke utara tanah air termasuk bagi hentian di Butterworth, Pulau Pinang serta Bukit Kayu Hitam, Sungai Petani dan Changlun di Kedah. 

Mengulas lanjut mengenai Op Merah yang turut dilaksanakan di seluruh negara, beliau memberitahu, sehingga Khamis lalu, sebanyak 183 notis dikeluarkan kepada penunggang motosikal p-hailing. 

“Sepanjang seminggu pelaksanaan Op Merah, kita memeriksa 549 buah motosikal dan mengeluarkan 183 notis kepada penunggang p-hailing. 

“Sebanyak 90 notis itu dikeluarkan atas tidak patuhi lampu isyarat, tidak pakai topi keledar (34 notis), langgar isyarat lalu lintas jalan sehala (28 notis) dan baki melibatkan lain-lain kesalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN