'Jangan jadi macam ketam dalam perjuangan UMNO'-Mahdzir Khalid - Utusan Malaysia

‘Jangan jadi macam ketam dalam perjuangan UMNO’-Mahdzir Khalid

MAHDZIR Khalid (tiga kiri) bersama Bung Moktar Radin (dua kiri) semasa Persidangan Cawangan UMNO berkelompok DUN Bengkoka dan Pitas di Pejabat UMNO Bahagian di Kudat hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Pemimpin UMNO disaran untuk terus memperkuatkan kepimpinan parti khususnya di peringkat akar umbi untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu perlu diambil jika UMNO ingin memenangi pilihan raya dan kembali membangunkan negara.

“Dalam perjuangan parti, jangan macam ketam dalam kotak, satu nak naik, yang lain tarik sampai jatuh. Sampai tidak ada yang boleh keluar.

“Elakkanlah sikap seumpama itu dalam UMNO. Marilah kita sama-sama bersolidariti untuk meneruskan agenda perjuangan parti,” katanya semasa merasmikan Persidangan Cawangan UMNO berkelompok DUN Bengkoka dan Pitas di Pejabat UMNO Bahagian, di sini hari ini.

Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar ini turut mengingatkan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi yang tidak mengalah biarpun diuji dengan kehilangan beberapa pemimpin selepas PRU-14 yang lalu.

“Apabila sebahagian daripada rakan-rakan kita dalam UMNO di peringkat kepimpinan keluar daripada parti ini pada 2018, semangat pemimpin dan ahli-ahli di peringkat cawangan dan bahagian termasuk sayap Wanita, Pemuda dan Puteri masih berjuang walaupun sudah tahu kita kalah.

“Ahli-ahli yang setia kepada parti itulah yang telah meneruskan kelangsungan UMNO di seluruh negara.

“Ahli-ahli UMNO juga tidak perlu lagi malu untuk memakai baju berwarna merah yang melambangkan UMNO atau mengaku diri sebagai ahli UMNO,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, selama tempoh 22 bulan menjadi pembangkang, UMNO yang dikatakan tidak punya apa-apa terpaksa berdepan pelbagai ujian seperti Pilihan Raya Kecil (PRK) dan juga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin diuji semasa PRK Parlimen Kimanis dan PRN Sabah namun, UMNO tetap berjaya bangkit dengan memenangi kedua-dua pilihan raya berkenaan.

Malah, kemenangan dalam PRN Sabah meletakkan semula UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai peneraju kerajaan negeri.

Turut hadir ialah Bung Mokhtar, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua UMNO Bahagian Kudat, Akram Ismail.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya