Jalin kerjasama isu kesihatan mental, pendidikan dengan Australia

Jalin kerjasama isu kesihatan mental, pendidikan dengan Australia

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia melihat ke hadapan bagi menjalinkan usaha kerjasama antara negara anggota ASEAN dan Australia dalam memperkasakan lagi imej taraf bidang kesihatan mental.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini hanya ada Malaysia dan jirannya, Brunei telah pun melaksanakan pelbagai inisiatif dalam perkara itu dengan Australia.

“Justeru, Malaysia berhasrat untuk merancang diadakan Mesyuarat Pakar Kesihatan Mental ASEAN-Australia tidak lama lagi,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Australia hari ini.

Ini merupakan persidangan julung kali blok serantau itu dengan Australia sejak diwujudkan perhubungan dialog pada 1974 lalu dan ia turut disertai Perdana Menterinya, Scott Morrison.

Brunei yang juga Pengerusi ASEAN 2021 bertindak sebagai tuan rumah dengan persidangan secara maya itu dihoskan sendiri Sultan Hassanal Bolkiah dan tanpa penyertaan Myanmar.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Malaysia telah melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Mental 2020-2025 dan bakal menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Nasional.

“Malaysia berhasrat agar semua negara ASEAN dan Australia dapat menjadikan kesihatan mental ada banyak akses termasuk mudah dicapai menerusi aneka wadah digital,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menyeru blok itu dan Australia bersiap siaga menghadapi darurat kesihatan awam dan kemunculan pelbagai penyakit melalui pertukaran ilmu dan program.

Justeru, beliau merakamkan penghargaan ke atas Australia yang banyak memberi sokongan kepada ASEAN dalam usaha mitigasi impak Covid-19 dengan penyaluran dana A$700 juta.

Inisiatif negara itu telah membantu ASEAN meneruskan Rangka Kerja Pemulihan Menyeluruh dalam usaha strategi membina semula masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing.

Menyentuh isu pendidikan, Ismail Sabri berkata, ASEAN boleh bekerjasama dengan Australia bagi melengkapkan komuniti dengan kemahiran kritikal teknologi komunikasi maklumat (ICT).

“Ini dapat secara signifikan menambah baik kemahiran dan melahirkan ramai pekerja mahir yang boleh meningkatkan lagi mutu tenaga buruh agar lebih efektif dan efisien,” tegas beliau.

Apatah lagi ujarnya, 60 peratus pekerjaan di rantau Asia Tenggara melibatkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang sebahagian besar meliputi belia, wanita dan kanak-kanak.

Katanya, jika kemahiran ICT mereka dapat dipertingkatkan, ia dijangka mampu memberi kesan rantaian dan memacu produktiviti pengeluaran serantau ke arah kemakmuran lebih besar.

Di samping itu, beliau turut menzahirkan penghargaan ke atas Australia dalam menjayakan siri latihan Pengaturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA) sejak pakatan ini ditubuhkan pada 1971.

Blok seumpama Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tetapi versi Asia Pasifik itu amat aktif melakukan eksesais bersepadu dan terbaharu, Bersama Gold 2021 pada awal bulan ini.

Selain Malaysia dan Australia, ia turut dianggotai Britain, New Zealand dan Singapura dengan markas induk bersama pasukan tersebut di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.