SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipercayai tidak mempunyai peluang cerah dalam Perikatan Nasional (PN) walaupun bersama dengan Pas untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjelang penamaan calon, 8 November ini.
Parti pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu didakwa berhadapan kemungkinan dipinggirkan pengundi Melayu walaupun menggunakan lambang Pas dalam PRN Melaka.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mendakwa, perkara itu disahkan sendiri oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali apabila parti berkenaan belum buat keputusan mengenai penggunaan logo dalam pilihan raya berkenaan.
“Mohamed Azmin kata PN belum buat keputusan untuk pakai lambang apa dalam PRN Melaka kali ini. Mereka sudah goyang dan tidak pasti untuk pakai lambang apa.
“Jika mereka guna lambang Pas, besar kemungkinan orang bukan Melayu tidak akan undi mereka. Jika guna lambang PN pula, mereka akan hilang undi Melayu Pas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya bagi PN di Melaka dilaporkan belum memutuskan mengenai logo yang akan digunakan bagi menghadapi pilihan raya itu, bermula 8 hingga 20 November ini.
Gabungan itu sebaliknya dimaklumkan masih berbincang dengan komponen PN untuk memutuskan logo yang akan digunakan.
Sementara itu, Utusan Malaysia semalam melaporkan Ahli MPT, Datuk Zuraida Kamarudin mendakwa, cadangan supaya PN menggunakan logo Pas dalam PRN Melaka hanya sekadar pandangan peribadi Timbalan Presiden Pas,Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tidak menggambarkan pendirian Pas sebagai sebuah organisasi parti.
Dalam pada itu, Isham menyatakan, tindakan PN dalam PRN Melaka dilihat hanya untuk memecahkan undi Melayu dan dipercayai tidak berupaya untuk memenangi sebarang kerusi.
“Dalam kedua-dua kes, mereka (Bersatu) tahu sukar untuk mereka menang apa-apa kerusi, tambahan dengan rekod buruk mereka mentadbir kerajaan selama 39 bulan sebelum ini (22 bulan dalam PH dan 17 bulan dalam PN).
“Kini mereka hanya ingin pecahkan undi Melayu sahaja supaya Barisan Nasional tidak menang. Sekali lagi mereka akan bantu PH untuk menang dengan pecahkan undi Melayu seperti yang mereka telah buat semasa PRU-14. Inilah dia perangai Parti Pemecah Belah Melayu (PPBM),” selarnya. – UTUSAN ONLINE