KLANG: Penderitaan seorang pembantu rumah warga India yang ditindas majikannya dan dipukul berakhir selepas berjaya diselamatkan polis, bulan lalu.
Wanita malang berusia 26 tahun itu dikatakan bukan saja tidak dibayar gaji malah dipukul dengan wayar seterika oleh anak majikannya.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, mangsa diselamatkan selepas pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita petang semalam.
“Pengadu memaklumkan mangsa ditemukan di kaki lima Pejabat Pos Klang, kira-kira pukul 8 malam, 19 September lalu selepas melarikan diri daripada rumah.
“Wanita asing itu dihantar ke pejabat pos berkenaan oleh individu tidak dikenali dan pengadu kemudiannya membawa mangsa lalu membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati mangsa memasuki negara ini dan bekerja di sebuah rumah selama 19 bulan.
“Wanita itu kemudian melarikan diri kerana tidak tahan bekerja dan tidak dibayar gaji.
“Selain itu, mangsa dipukul dengan wayar seterika di bahagian peha oleh anak majikannya,” ujarnya.
Kata Vijaya Rao, mangsa diselamatkan dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita Damansara untuk melengkapkan siasatan.
Tambah beliau, bertindak atas maklumat dan siasatan, pihaknya menahan dua beranak bagi membantu siasatan kes itu, kira-kira pukul 7 petang semalam.
“Kedua-dua suspek yang disyaki terlibat iaitu ibu dan anak masing-masing berusia 49 dan 28 tahun.
“Mereka direman selama empat hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Jelas Vijaya Rao, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2007. -UTUSAN ONLINE