Integrasi pengurangan risiko bencana melalui pendekatan sains, teknologi

Integrasi pengurangan risiko bencana melalui pendekatan sains, teknologi

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendekatan sains dan teknologi adalah langkah penting dalam mengintegrasikan pengurangan risiko bencana dengan adaptasi perubahan iklim.

Perdana Menteri berkata, faktor perubahan iklim perlu diambil kira dalam menjelaskan bencana berkaitan cuaca yang sedang dihadapi termasuk di Malaysia dan kaitannya dengan pola bencana, kekerapan dan magnitud kejadian.  

Atas dasar itu, kata beliau, kerajaan memandang serius akan impak perubahan iklim dan peningkatan kesan bencana pada masa akan datang, mengambil kira Laporan Kos Bencana Manusia 2000-2019 oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pengurangan Risiko Bencana (UNDRR).

“Ini ditekankan dalam Strategi Utama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu meningkatkan daya tahan terhadap perubahan  iklim dan bencana ke arah melestarikan agenda pertumbuhan hijau  negara. 

“Bencana seperti banjir, tanah runtuh, gempa bumi, ribut taufan, kemarau, tsunami, hakisan pantai, kebakaran hutan dan pandemik Covid-19 semestinya menjejaskan nyawa, harta benda dan aktiviti sosio-ekonomi. Saya telah menekankan perkara ini semasa ucapan dalam Perbahasan Umum Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) sesi Ke-76 tentang cabaran untuk bangkit semula selepas bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Webinar Risiko Bencana Di Era Perubahan Iklim Panel Pakar Sains Dan Teknologi untuk pengurangan risiko bencana anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), hari ini.

Menurut Perdana Menteri, beliau bersetuju dengan inisiatif untuk memperkasakan pengurusan risiko bencana melalui penggubalan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan yang sedang dilaksanakan NADMA. 

Kata beliau, ini termasuk penambahbaikan kefahaman tentang risiko bencana, meningkatkan pelaburan dalam inisiatif pengurangan risiko bencana dari aspek kapasiti sumber manusia, pemerkasaan institusi, perluasan langkah mitigasi, aplikasi teknologi dan memperhebatkan  langkah kesiapsiagaan nasional. 

Ismail Sabri berkata, NADMA bakal melancarkan dokumen National Risk Register (NRR) untuk orang awam pada 28 Oktober ini iaitu sebuah penerbitan kerjasama South East Asia Disaster Prevention Research Initiative (SEADPRI-UKM) untuk memberi kesedaran dan kefahaman kepada orang awam mengenai  risiko-risiko bencana yang terdapat di Malaysia.

“Ini adalah usaha amat baik untuk menyedarkan Keluarga Malaysia tentang pengurusan bencana yang telah dilaksanakan di Malaysia, jenis-jenis bencana sedia ada dan tindakan susulan yang  mana boleh dijadikan rujukan pihak-pihak berkepentingan.

“Ia sama ada untuk tujuan kajian perancangan dan pemetaan, pemantauan, sistem ramalan awal, pencegahan, mitigasi dan strategi pengurangan risiko,” katanya.  

Pada masa sama, beliau berkata, strategi, pelan tindakan dan program pengurangan risiko  bencana yang dibangunkan perlu mengarusperdanakan Pengurangan Risiko Bencana dalam semua sektor iaitu pembangunan, ekonomi,  pendidikan dan kesihatan.

Katanya, ia termasuk koheren dengan instrumen  global seperti Sendai Rangka Kerja Pengurangan Risiko Bencana dan Perjanjian Paris untuk Perubahan Iklim bagi mencapai aspirasi Matlamat Pembangunan Lestari (SDG). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya