"Ini tahun saya" - Ruhainies - Utusan Malaysia

“Ini tahun saya” – Ruhainies

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOLAK tepi soal jodoh, kahwin dan yang sewaktu dengannya. Kita borak pasal itu sebentar lagi. Bukan apa, sebut sahaja nama Ruhainies, asyik-asyik bicaranya dalam acuan yang sama. Bila mahu kahwin? Lama-lama dia juga bosan hendak menjawab.

Tetapi kali ini bicara kami sedikit berbeza. Membawa empunya diri kecil molek ini ke topik yang lebih berat. Mengimbas tujuh tahun kelananya dalam industri. Membelah lautan kontroversi dan cerita sensasi yang suatu ketika dahulu pernah mencemar nama diri.

Mengenali Ruhainies, dia bukan sejenis manusia bermuka-muka. Dia senang melontar pendapat dengan tegas, tidak selari aksi manja dan lemah lembutnya. Namun dalam ketegasan, tidak pula dia melenting atau membentak hanya kerana tidak suka dengan soalan.

“Ya luaran memang nampak saya seorang yang manja dan lemah lembut. Wanita sopan santun gitu! Tetapi saya wanita berdikari. Saya tegas dalam menyatakan sesuatu. Pengalaman hampir sedekad dalam industri, mengharungi segala jerih perih itu menguatkan semangat saya.

“Sebab itu sebagai anak seni dan pelakon, saya tidak mahu orang meletakkan gelaran atau streotaip. Walaupun personaliti saya lemah lembut, tidak bermakna saya hanya boleh bawa watak sama. Beri sahaja watak aksi atau berat, saya yakin mampu jayakannya.

“Saya perlu cabar diri. Tak akan hendak berlari dalam padang yang sama. Lain padang lain belalang. Maka saya perlu cabar diri dan semestinya, keyakinan itu datang daripada produser atau pengarah. Melihat saya dari sudut berbeza,” katanya.

Berdiri tegas sebagai seorang wanita, Ruhanies juga sedar setiap gerak geri diperhati. Acap kali menjadi mangsa cemuhan, itu sedikit pun tidak melemahkan diri. Sebaliknya setiap satu kontroversi yang datang memalit lumpur di kanvas seninya, dia harungi dengan cekal.

Dia juga semakin matang. Tidak selemah yang disangka. Tidak mudah ditolak mengikut arah mereka yang mahu memperguna. Pandai menjaga diri daripada diperdaya manusia lain.

“Sepanjang dalam industri, memang banyak yang saya belajar. Saya sangat menjaga nama baik diri dan keluarga. Kalau cakap pasal gosip liar, memang tidak ada. Paling tidak pun, gosip cinta dan kahwin.

“Tetapi saya anggap itu normal. Selagi status belum bertukar isteri orang, selagi itulah nama saya akan sentiasa dikaitkan dengan gosip cinta,” katanya.

“Cuma saya lebih matang. Tegas dan lebih berhati-hati dalam setiap aspek. Yakin dengan diri sendiri sebab sebagai pelakon, kita kena percaya bakat dan kemampuan kita. Tetapi saya tidak akan berhenti belajar. Tidak akan sesekali berpuas hati,” katanya.

Dunia seni, darah daging saya

Teruja nadanya apabila berbicara soal kerjaya, menyerlah semangat dan minat mendalam terhadap dunia lakonan. Dan kini, dia melangkah setapak ke hadapan menceburi dunia penerbitan. Mana tahu, satu hari nanti di kredit akhir, namanya pula sebagai pengarah.

Lapan tahun, mungkin di mata orang sekejap sahaja itu. Selama itu juga saya bergelar wartawan. Maka saya memahami, dalam industri ini tiada yang mustahil. Hari ini pemilik nama Ruhainies Farehah Zainul Ilyas seorang pelakon, esok jadi pengarah dan produser berjaya.

“Lapan tahun dalam industri, saya banyak belajar. Saya juga sedar, dunia seni sudah menjadi darah daging. Ini yang saya mahukan, yang saya idamkan. Saya akan kekal selamanya dalam industri. Mungkin akan diperlahankan kelak tetapi tidak untuk berundur.

“Dunia lakonan ini memberi saya jiwa berbeza. Minat yang terlalu mendalam. Tetapi dalam masa yang sama, saya tidak mahu terpuruk dalam ruang yang sama. Lantas saya cabar diri untuk menerbitkan telemovie sendiri. Satu hari nanti, mengarah pula.

“Mungkin ada yang sinis dan memerli kemampuan saya. Tetapi itu bukan alasan untuk saya berhenti. Saya mahu cuba semua. Kalau bukan sekarang bila lagi,” katanya bangga apabila naskhah pertamanya, Maulidur Rasul Datang Lagi akan ditayangkan minggu hadapan.

Membuka pula gelanggang soal lakonan, Ruhanies juga teruja apabila drama Cukup Derita Itu yang mencetuskan fenomena akan mula ditayangkan semula 15 November depan selepas ‘tergantung’ lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Setiap hari tau peminat tanya bila Cukup Derita Itu akan disambung selepas tergantung penggambaran di episod 20. Bila boleh mula penggambaran, saya sendiri teruja. Tak sangka drama ini mendapat sambutan luar biasa, melepasi harapan saya.

“Bagi saya itu tanda orang suka dan lekat dengan Cukup Derita Itu. Saya puas dan bangga. Akhirnya peminat sedar kemampuan dan bakat saya. Mungkin selama ini orang pandang rendah dan tidak percaya tetapi Cukup Derita Itu membuka mata semua.

“Sebab itu cakap, ini tahun saya. Kerjaya bergerak baik, perniagaan juga semakin berkembang dan kehidupan juga baik-baik sahaja,” katanya.

Cinta, kahwin dan perniagaan

Seperti yang dikhabarkan tadi, bicara kahwin kita simpan di belakang. Sebab apa? Sebab kita tahu dia mengulang jawapan sama. Mengenali gadis berusia 29 tahun ini, dia memang jarang berkongsi kisah cinta. Tetapi selalu ditanya dan disoal.

Di tangga usianya kini, semestinya soal perkahwinan sering berlegar dalam kotak fikirannya. Ramai yang tertanya, apakah statusnya dengan jejaka yang pernah dikongsi cerita sebelum ini. Cuma Ruhanies lebih senang menyimpan rahsia.

“Mestilah saya fikir soal kahwin. Kalau ada jodoh, sampailah beritanya nanti. Cuma sekarang, tiada pengumuman yang boleh saya kongsi. Saya fokus karier dahulu. Tetapi doa yang baik-baik ya,” katanya.

Mudah sahaja jawapannya. Sebab itu soalan ini antara yang terakhir kami bualkan. Cuma soalan saya seterusnya, membuatkan dia mengambil masa untuk memulangkan jawapan. Adakah dia gembira dengan kehidupannya kini? Bahagiakah seorang Ruhainies?

“Alhamdulillah, saya gembira sangat. Segalanya disusun Tuhan dengan baik. PKP kali ini memang lama tetapi saya lihat dari segi positifnya. Selepas lapan tahun sibuk dengan dunia seni, saya dapat meluangkan masa dengan keluarga.

“Saya nampak hikmahnya. Kasih sayang, cinta dan semuanya menjadikan hati saya berbunga. Jadi, untuk menjawab soalan itu, saya boleh katakan; Ya, saya bahagia,” katanya seraya mengukir senyuman manis di wajah.

Tidak terkecuali, produk makanan Canchy yang diusahakan sejak Jun lalu mendapat sambutan luar biasa. Siapa sangka, langkahnya menjadi. PKP atau tidak, itu bukan halangan untuk dia serta rakan perniagaan melancarkan produk.

“Risau juga mula-mula. Yelah, PKP kan. Tetapi dalam tempoh dua minggu selepas dilancarkan, jualan kami mencecah RM1 juta. Malah selepas ini, 100 papan iklan akan dinaikkan di seluruh Malaysia. Alhamdulillah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya