Iman Troye dan Nang - Utusan Malaysia

Iman Troye dan Nang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rasanya kalau ditanya siapa penyanyi wanita muda yang popular, nama Iman Troye pasti meniti di bibir. Malah, tidak keterlaluan jika Poklip juga meramal dia mampu bergelar penyanyi wanita popular yang akan malar segar untuk tempoh lama.

Usianya muda remaja, perjalanannya juga masih jauh. Tetapi jika melihat kepada strategi dan bakatnya, dia boleh pergi lebih jauh. Cuma hati-hati, kena sentiasa membumi dan tahu di mana kaki berpijak. Jangan mudah dilambung ombak populariti.

Iman baru sahaja melancarkan lagu baharu, Nang. Poklip pun ambil masa untuk mendengar rilisan baharunya itu. Cuma mata Poklip terkunci di ruangan komen apabila ramai yang pusing kepala memikirkan maksud lagu ciptaan Ezra Kong dan lirik bersama A. Ramlee.

Poklip pun cuba mengkaji sendiri apa sebenarnya lagu ini cuba sampaikan. Pada pengamatan Poklip, lagu ini menceritakan tentang legenda Puteri Gunung Banang dari Johor. Mungkin ramai yang tidak tahu, terutama generasi muda.

Tetapi dari sisi positifnya, Poklip cukup puji usaha Iman dan komposer dalam memartabatkan kisah legenda yang kurang didengari. Tahukah kita, selain Puteri Gunung Ledang, terdapat ramai lagi puteri legenda yang diabadikan kisahnya.

Poklip sendiri sebenarnya baru membaca cerita Puteri Gunung Banang ini. Poklip juga yakin, ramai antara mereka yang mendengar lagu itu akan segera mencari kisah legenda ini. Satu usaha yang cukup bagus. Melagukan kisah yang menjadi bualan ramai satu ketika dahulu.

Mana tahu, daripada sebuah lagu, kisah Puteri Gunung Banang ini akan difilemkan semula. Sebelum ini, kisah legenda ini pernah diangkat ke layar perak sekitar 1959 dan pernah dilakonkan oleh seniman legenda, Allahyarham Datuk Ahmad Mahmud dan Sri Dewi.

Cuma dalam pujian, ada juga yang menegur cara nyanyian Iman yang dikatakan kurang difahami. Mungkin Iman perlu lihat juga dari sudut itu. Mana yang boleh diperbaiki, kita terima dengan hati terbuka. Walaupun pada pendengaran Poklip, nyanyian Iman baik-baik sahaja.

Sebelum ini Poklip pernah sahaja menegur beberapa penyanyi muda yang suka menyebut perkataan dengan pelat. Tak tahu sama ada mahu nampak seperti tak tahu berbahasa Melayu atau memang itu slang mereka. Itu lagi membingitkan telinga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.