Ibu tunggal rayu bantuan baiki rumah dilanda ribut - Utusan Malaysia

Ibu tunggal rayu bantuan baiki rumah dilanda ribut

AMIRUL Faizal Jumaat menunjukkan bahagian rumah ibunya yang mengalami kerosakan setelah dilanda ribut di Lorong Atap, Jalan Bakek, di Pontian, Johor. – UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: “Sudah enam hari ribut melanda rumah saya, tetapi satu pun tiada bantuan bagi membaik pulih, jika ada pun setakat ambil gambar dan mencatat butiran peribadi tetapi sehingga hari ini tiada pihak yang datang melakukan kerja-kerja membaiki”.

Rintih Jamaliah Abdullah, 54, yang bimbang akan berlaku hujan dan ribut seperti mana dialaminya pada pagi Jumaat minggu lepas yang menerbangkan beberapa keping atap zink dan dinding rumahnya.

 

 

JAMALIAH ABDULLAH

Kata ibu tunggal itu, walaupun rumahnya dibina atas tanah rizab Jabatan Pengairan Saliran (JPS) di tepian Sungai Pontian Kecil, namun dia ada membayar lesen pendudukan sementara (TOL) pada setiap tahun.

Dia mengakui tidak mempunyai tanah untuk membina rumah baru melainkan tinggal di rumah peninggalan arwah bapanya itu yang didiami sejak 30 tahun yang lalu.

“Saya berkecil hati apabila ada pihak yang mempertikai status tanah yang diduduki seolah-olah menghalang kami daripada menerima sebarang bentuk bantuan termasuk bantuan bencana alam.

“Begitu juga bantuan lain di musim Covid-19 seperti bakul makanan yang dianjurkan oleh wakil-wakil rakyat pun tidak pernah sampai kecuali daripada Majlis Perbandaran Pontian (MPPn),” katanya ketika ditemui di Lorong Atap, Jalan Bakek, di sini, semalam.

Dalam kejadian ribut itu, rumah Jamaliah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan dinding yang diperbuat daripada kayu sehingga menyebabkan bahagian hadapan, bilik dan dapur dimasuki air.

Tambah Jamaliah, kebanyakan pihak luar menganggap penempatan di tepi Sungai Pontian Kecil itu hanya didiami oleh kaum Cina sahaja dan tiada rumah orang Melayu di kawasan tersebut.

Katanya, dia memiliki tiga anak iaitu seorang lelaki dan dua perempuan di mana dua daripadanya telah berkeluarga dan kini dia tinggal bersama anak bongsu, Emelia Shahirah, 19.

Menurutnya, sebelum ini dia berniaga goreng pisang di kawasan pasar kecil berhampiran rumahnya tetapi kini tidak dibenarkan lagi berniaga di lokasi itu yang menyebabkan hilang sumber pendapatan.

“Saya rasa tersisih sejak tinggal di sini kerana tiada bantuan selayaknya yang diterima dan kini mengharapkan perniagaan kecil-kecilan menjual kuih-muih dan makanan lain di Taman Sri Aman dengan pendapatan kira-kira RM50 sehari atau bergantung pada jualan,” ujarnya.

Sementara itu, anaknya, Amirul Faizal Jumaat, 32, yang berkongsi masalah rumah ibunya dalam media sosial berharap ada pihak dapat membantu membaiki rumah yang didiami ibu dan adiknya itu.

Katanya, dia mendapat tahu banyak bantuan disalurkan kepada mangsa-mangsa ribut di Pontian baru-baru ini, namun tiada pihak yang tampil membantu ibunya yang turut menjadi mangsa.

“Saya hanya bekerja sebagai pembantu di gerai menjual ikan dan pendapatan pun tidak seberapa hanya cukup menampung kehidupan saya, isteri dan dua orang anak kami,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN