Ibu teruja pertama kali jumpa menantu - Utusan Malaysia

Ibu teruja pertama kali jumpa menantu

BAGI mengubati kerinduan, Nooren Rashid, melihat gambar anak dan menantunya sebelum mereka pulang ke kampung halaman selepas ini di Taman Guru Jaya, Kangar, Perlis, semalam. – UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selepas hampir setahun tidak bertemu, Nooren Rashid, 62, mengakui cukup teruja dan tidak sabar bertemu semula puteri tunggal kesayangannya berikutan kelonggaran merentas negeri bagi mereka yang lengkap vaksinasi sudah dibenarkan.

Lebih istimewa, warga emas yang tinggal di Taman Guru Jaya di sini juga sudah tidak sabar bertemu menantunya buat pertama kali selepas gagal hadir ke majlis akad nikah anaknya itu pada Julai lalu berikutan larangan rentas negeri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan anak perempuannya, Nurul Iman Engelbert-Rashid, 29, yang tinggal di Putrajaya adalah pada Disember tahun lalu iaitu ketika berbincang mengenai perkahwinan dengan bakal menantu dan keluarga mereka.

Bagaimanapun katanya, berikutan PKP, wanita yang tinggal bersendirian selepas kematian suami sejak 17 tahun lalu itu sudah tidak dapat bertemu dengan anaknya termasuk ketika majlis akad nikah pada 22 Julai lalu.

“Saya cukup gembira apabila kerajaan memberi kelonggaran merentas negeri sekali gus membolehkan ahli keluarga yang tinggal jauh dan sudah lama tidak bertemu melepaskan rasa rindu.

“Memang sangat gembira dapat berjumpa anak dan menantu selepas ini. Sebelum ini, saya tidak dapat bersama pada hari bahagia mereka (akad nikah). Ketika itu, ahli keluarga di Perlis hanya mampu melihat majlis mereka melalui panggilan video sahaja.

“Masing-masing menangis kerana sebak ketika itu namun apakan daya kita harus mengikut prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan bersama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Selepas hampir setahun disekat pergerakan, akhirnya 32 juta rakyat Malaysia bebas untuk merentas negeri termasuk ke luar negara mulai hari ini dengan syarat sudah mendapat dua dos vaksin.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas kadar vaksinasi lengkap Covid-19 bagi populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencapai 90 peratus.

Tambah Nooren berkata, selepas Perdana Menteri mengumumkan kebenaran rentas negeri, anaknya terus menghubungi bagi menyampaikan berita gembira tersebut.

Katanya, dia tidak begitu risau untuk berjumpa mereka kerana semua sudah lengkap menerima dua dos vaksin seterusnya boleh merentas negeri seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Bagaimanapun, saya tidak mengalakkan anak untuk terlalu terkejar-kejar balik kerana pastinya ramai yang akan balik kampung ketika ini.

“Insya-Allah, anak akan balik pada Disember ini, kerana dia bekerja sebagai guru dan akan cuti pada hujung tahun ini. Bila pulang nanti boleh saya kenalkan menantu kepada ahli keluarga di sini yang tidak sabar untuk bertemu mereka,” ujarnya.-UTUSAN  ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN