PONTIAN: Air mata seorang ibu sering bergenang sejak mengetahui anak sulungnya yang sebelum ini aktif dikesan menghidap penyakit Systemic lupus erythematosus (SLE) yang menyerang buah pinggang dan urat saraf sehingga hanya mampu berbaring sahaja pada setiap masa.
Malah, Mazliha Kassim, 53, bukan sahaja perlu memberi perhatian penuh kepada Effariha Zainal Abidin, 33, tetapi sepasang anak kembarnya, Nurul Nadiah dan Nurul Najwa yang berusia 26 tahun turut mengalami simptom sama.
Selain itu, adik mereka, Al-Imran, 20, yang kini menuntut di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan juga menghadapi masalah kulit dan sekiranya digaru secara berlebihan akan mengeluarkan darah yang banyak.
“Anak kembar, Nurul Nadiah menghidap SLE berkaitan kulit dan darah, manakala Nurul Najwa mengalami kesan di buah pinggang. Tetapi tiga lagi anak saya yang lain tiada masalah itu
“Effariha pernah kahwin pada 2010 dan hanya sempat bahagia selama lima tahun sebelum ditinggalkan suami apabila penyakitnya semakin teruk. Dia sebenarnya tak boleh mengandung tetapi dengan izin Allah dia mengandung sebanyak tiga kali namun mengalami keguguran.
“Kami faham dengan keadaannya ketika itu yang tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri apatah lagi tanggungjawab sebagai isteri,” katanya penuh hiba kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kini Mazliha bersama suaminya, Zainal Abidin Pari, 57, terpaksa berkorban wang ringgit bagi menyembuhkan penyakit Effariha yang paling teruk antara keempat-empat anaknya termasuk menggunakan kaedah perubatan tradisional.
Katanya, keadaan menjadi semakin sukar apabila mereka yang sebelum ini tinggal di Taman Johor Jaya selama lebih 20 tahun berhadapan dengan masalah termasuk suami yang dibuang kerja selain rumah terpaksa dijual.
Zainal Abidin yang kini bekerja di sektor perkilangan di Johor Bahru berusaha memenuhi perbelanjaan mereka sekeluarga dengan bekerja lebih masa bagi memastikan perbelanjaan harian mencukupi termasuk bagi keperluan Effariha serta sewa rumah RM700 sebulan.
Menurutnya, Effariha yang kini terlantar memerlukan bantuan ahli keluarga lain setiap kali untuk menukar lampin pakai buang yang perlu disediakan sebanyak enam beg sebulan, selain susu serta nestum sebagai gantian kepada nasi.
“Alhamdulillah, dia dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 selain sering dibantu sukarelawan agensi itu, Fatimah Adnan yang datang ke rumah setiap minggu untuk memantau Effariha yang perlu ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) setiap bulan,” jelasnya.
Kata Mazliha, rawatan bagi Nurul Nadiah pula tidak menentu tetapi kebiasaannya setiap dua minggu sekali di Hospital Sultan Ismail (HSI), sementara Nurul Najwa juga perlu mendapat rawatan susulan di HSA sekiranya diarahkan doktor.
Mereka kini juga sedang memohon bantuan bulanan untuk anak kembar itu yang tidak berupaya bekerja. Bagi mereka yang bersimpati dengan nasib keluarga ini boleh menghubungi Mazliha di talian 018-6676467 atau menyumbang melalui akaun Maybank miliknya, 151539132111. -UTUSAN ONLINE