ALOR SETAR : Keputusan kerajaan untuk menghentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 bagi pelancong ke Langkawi berkuat kuasa Selasa lalu mendapat reaksi berbeza daripada kalangan pemain industri pelancongan di pulau legenda itu .
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir, kebanyakan ahli yang bernaung di bawah persatuan itu tidak bersetuju dengan langkah tersebut kerana dibimbangi mendatangkan kesan negatif terhadap sektor pelancongan di pulau tersebut yang kembali dibuka pada 16 September lalu.
Menurutnya, sebahagian pemain industri tersebut ketika ini masih ‘fobia’ dengan pengalaman dilalui sebelum ini apabila mereka terpaksa menanggung kerugian besar setelah sektor pelancongan di Langkawi lumpuh sepenuhnya bermula Disember tahun lalu.
Katanya, keputusan kerajaan sebelum ini mengarahkan ujian tersebut dilakukan tepat bagi mengesan awal pelancong yang positif Covid-19 dan tindakan boleh diambil dengan menghalang mereka memasuki Langkawi, namun sekarang ini tiada lagi pengawasan tersebut.
“Kita tak mahu pulau kecil ini terjejas disebabkan tiada pengawasan hingga menyebabkan pemain industri terpaksa menanggung,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Kementerian Kesihatan memutuskan untuk menghentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 bagi pelancong ke Langkawi berkuat kuasa Selasa lalu selepas mengambil kira peratus yang dikesan positif semasa saringan sangat rendah.
Dalam pada itu Naib Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Razmi Rahmat pula berkata, pihaknya mengakui memang terdapat pemain industri yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan langkah tersebut.
Namun katanya, jika ujian pengesanan Covid-19 terus diwajibkan hanya untuk masuk ke Langkawi dan tidak di tempat-tempat lain, ada kemungkinan pelancong tidak akan memilih Langkawi sebagai destinasi percutian mereka.
Katanya, apa yang penting adalah prosedur operasi standard (SOP) perlu terus dilaksanakan dengan ketat agar tidak berlaku penularan Covid-19 di pulau tersebut dalam kalangan pelancong.
“Mungkin ada yang setuju dan ada yang tidak tetapi kalau kita tidak move on sampai bila-bila pun kita ketakutan. Apatah lagi kita menuju ke fasa endemik dan sudah tentu semua pihak perlu menjadi lebih berdisiplin bagi melalui fasa tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE