Hasilkan 16,000 keping nisan nyiur sebulan - Utusan Malaysia

Hasilkan 16,000 keping nisan nyiur sebulan

ZULKIPLI Wan Ahmad menunjukkan manisan kelapa atau nisan nyiur yang dihasilkannya sejak lebih 20 tahun lalu di Kampung Batangan di Marang, Terengganu, semalam. – UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Manisan kelapa atau nisan nyiur yang diusahakan Zulkipli Wan Ahmad, 52, di Kampung Batangan di sini sejak lebih 20 tahun lalu masih mendapat permintaan ramai apabila 16,000 keping makanan tradisi Terengganu itu terjual setiap bulan.

Zulkipli berkata, sambutan berterusan itu sekali gus membolehkan perniagaan kecilnya bertahan hingga kini dengan pendapatan melebihi RM1,500 sebulan.
Katanya, produk manisan ber­kenaan kemudian dipasarkan di sekitar Terengganu terutama di pasar-pasar utama termasuk di Pasar Payang 2.

“Nisan nyiur mungkin ku­rang dikenali generasi muda tetapi masih mempunyai peng­gemar dalam kalangan warga emas.

“Bagaimanapun ada juga yang salah sangka nisan nyiur adalah gula Melaka kerana kaedah pembungkusannya sama dengan menggunakan daun mengkuang, namun saiznya lebih kecil dan boleh terus dimakan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Zulkipli berkata, antara bahan-bahan yang diperlukan bagi penghasilan manisan itu ialah beras pulut, gula, air nira dan kelapa muda bagi menambah lagi keenakan.

Katanya, walaupun proses pembuatan tidak rumit tetapi mengambil masa dan setiap minggu dia memasak sekawah adunan yang mampu menghasilkan kira-kira 4,000 keping nisan berkenaan.

“Saya berharap nisan nyiur keluaran saya ini dapat dijual ke negeri-negeri lain di masa hadapan bagi memperkenalkan lagi makanan tradisi tempatan kepada masyarakat luar.

“Selagi ada permintaan saya akan meneruskan perusahaan nisan nyiur ini agar ia tidak lenyap dengan perubahan zaman,” katanya yang turut menjual dodol daun palas.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN