PETALING JAYA: Top Glove Corporation Bhd. mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 31 peratus tahun ke tahun kepada RM34.7 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mei 2025.
Penurunan ini disebabkan oleh persaingan yang semakin sengit serta kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.
Dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat pengeluar sarung tangan itu menyatakan suku yang sama tahun lalu turut mendapat manfaat daripada keuntungan yang lebih tinggi hasil pelupusan tanah.
Tiada dividen diisytiharkan bagi suku tersebut.
Top Glove menjelaskan bahawa harga jualan purata (ASP) sarung tangan kekal kompetitif, sementara kos bahan mentah menunjukkan penurunan suku ke suku.
Harga purata lateks pekat semula jadi turun sebanyak sembilan peratus, manakala lateks nitril susut empat peratus.
Bagi tempoh sembilan bulan terkumpul, keuntungan bersih melonjak kepada RM70.5 juta berbanding kerugian bersih RM58.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Ini disokong oleh lonjakan hasil sebanyak 55 peratus kepada RM2.6 bilion serta peningkatan 65 peratus dalam jumlah jualan.
Pengarah Urusan, Lim Cheong Guan berkata prestasi suku ketiga terkesan oleh halangan yang ketara terutamanya harga jualan purata yang rendah, persaingan yang sengit serta penjimatan kos yang disalurkan kepada pelanggan.
“Namun, kami tetap berdaya tahan dengan kekal mencatat keuntungan sambil mencapai pertumbuhan jumlah jualan.
“Prestasi sembilan bulan kami yang terkumpul juga menunjukkan trend positif ke arah tahap pra Covid-19 yang lebih mencerminkan realiti sebenar berbanding prestasi suku tahunan yang boleh berubah-ubah akibat faktor luaran.
“Ini membuktikan keberkesanan tumpuan berterusan kami terhadap penambahbaikan kualiti, kecekapan kos serta keupayaan kami untuk menyesuaikan diri dengan dinamika pasaran yang berubah,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada akhir suku tersebut, Top Glove mempunyai RM305.2 juta dalam bentuk tunai dan baki bank, berkurangan daripada RM351.2 juta pada permulaan tahun kewangan.
Jumlah liabiliti meningkat kepada RM1.65 bilion daripada RM1.12 bilion pada akhir Ogos 2024, terutamanya disebabkan oleh terbitan sukuk senior RM800 juta bagi membiayai semula sukuk berstatus kekal.
Jelas beliau, meskipun berdepan ketidaktentuan global, Lim tetap optimis terhadap prospek jangka panjang syarikat.
“Kami percaya prospek jangka panjang kekal kukuh kerana sarung tangan adalah barangan penting merentasi pelbagai sektor yang akan terus mendorong permintaan global yang berterusan.
“Kami juga komited untuk terus memberikan nilai kepada para pemegang kepentingan, sambil kekal berpegang kepada prinsip pertumbuhan yang bertanggungjawab dan mampan,” katanya.-UTUSAN










