Harap RTB Lembangan Sungai Pinang dipercepatkan - Utusan Malaysia

Harap RTB Lembangan Sungai Pinang dipercepatkan

JAGDEEP SINGH DEO ketika meninjau operasi di Pasar Awam Kuantan, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang yang dirancang sejak 1999 akan dapat dipercepatkan pembinaanya bagi mengatasi masalah banjir di negeri itu. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, projek RTB Lembangan Sungai Pinang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-Sebelas (RMK-11) dengan kos projek berjumlah RM150 juta dan akan diteruskan dalam RMK-12. 

Jelasnya, projek RTB itu bermula pada 1999 tetapi tergendala disebabkan terdapat 232 penempatan setinggan di tebing sungai dan kerajaan negeri telah menyelesaikan  penempatan semula setinggan tersebut. 

“Projek ini dijangka dapat dimulakan Jun 2022 dan siap pada Jun 2026, kita ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat atas usaha ini kerana kita sudah menunggu lama dan harap dapat dipercepatkan,” katanya selepas meninjau operasi Pasar Awam Jalan Kuantan, di sini hari ini. 

Menurut Jagdeep, pihaknya juga dimaklumkan kelewatan di peringkat reka bentuk terperinci sebelum ini berlaku disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020. 

“RTB berkenaan amat penting untuk mengatasi masalah banjir memandangkan sering berlaku banjir kilat di kawasan pusat bandar yang berpunca dari Sungai Pinang,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata, sejak 18 Mac 2020 hingga kini, sebanyak 33 pasar awam di Pulau Pinang telah diarahkan ditutup oleh kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu 16 di bahagian pulau dan 17 di bahagian Seberang Perai. 

“Para peniaga dan penjaja kecil di pasar-pasar awam di negeri ini disarankan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya penularan virus Covid-19 dalam kalangan komuniti setempat,” katanya. 

Tambahnya, Pasar Awam Jalan Kuantan di sini yang sebelum ini ditutup pada 18 September lalu telah dibuka semula operasinya pada Ahad. 

“Kesemua ujian terhadap peniaga dan penjaja didapati negatif dan pasar ini disahkan selamat untuk beroperasi semula,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN