PUTRAJAYA: Hanya mereka lengkap divaksin dibenarkan merentas negeri dan pemeriksaaan secara rawak akan dilakukan untuk mengesan mereka yang didapati melanggar arahan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana individu yang tidak mempunyai dua dos vaksin atau tidak langsung divaksin adalah tidak dibenarkan untuk merentas negeri termasuk ke luar negara.
Kata beliau, pemeriksaan tersebut boleh dilakukan menerusi semakan sijil vaksinasi di aplikasi MySejatera.
“Syarat utama kebenaran merentas negeri adalah mereka yang mempunyai dua dos vaksin. Mereka yang tidak mempunyai dua dos vaksin atau tidak langsung mempunyai vaksin tidak dibenarkan.
“Walaupun tiada sekatan jalan raya (SJR) khususnya untuk menyekat pergerakan rentas negeri, tetapi Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh melakukan pemeriksaan secara rawak di mana sahaja, mungkin di hentian rehat dan rawat (R&R) boleh dilakukan,” katanya dalam sidang media khas hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, mana-mana rakyat yang masih belum divaksin, segeralah berbuat demikian memandangkan banyak kelonggaran yang telah diumumkan seperti merentas negeri, melancong dalam dan luar negara, dine-in dan sebagainya bergantung kepada syarat lengkap vaksinasi.
Katanya, di sebalik semua kelonggaran yang telah diumumkan, hakikatnya semua rakyat terpaksa hidup bersama virus Covid-19 dan situasi ini bukan sahaja menuntut rakyat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP), malah penting untuk meningkatkan penilaian kendiri demi melindungi Keluarga Malaysia.
“Untuk itu, bagi mereka yang masih belum divaksin, segeralah berbuat demikian. Ini kerana banyak kelonggaran yang telah diumumkan seperti merentas negeri, melancong dalam dan luar negara, dine-in dan sebagainya bergantung kepada syarat lengkap vaksinasi.
“Vaksin mengurangkan risiko jangkitan, mencegah daripada mendapat jangkitan yang lebih teruk, mengurangkan risiko kematian akibat Covid-19 serta mengurangkan beban sistem kesihatan.
Perdana Menteri turut memberitahu, data terkini Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa vaksinasi berjaya menurunkan kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 83 peratus dan kadar kematian akibat jangkitan Covid-19 sebanyak 88 peratus,” katanya. – UTUSAN