Gembira dapat bawa jenazah secara percuma - Utusan Malaysia

Gembira dapat bawa jenazah secara percuma

SAARI Ramli (kanan) menerima kunci van jenazah berharga RM60,000 daripada Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad baru-baru ini. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pendawai elektrik menjadikan kerja sampingannya sebagai pemandu van jenazah untuk berbakti dan membantu masyarakat golongan berpendapatan rendah.

Saari Ramli, 42, berkata, pengalaman hampir 15 tahun berkecimpung dalam profesion itu cukup menginsafkan, terutama setiap kali melihat kesedihan terpapar di wajah ahli keluarga yang meratapi pemergian orang tersayang.

Namun kali ini, katanya, dia menyediakan perkhidmatan tersebut secara percuma kepada golongan yang memerlukan.

Jelasnya, hatinya terpanggil untuk berbakti setelah menerima sumbangan sebuah van berharga RM60,000 daripada UMNO Bahagian Tangga Batu, baru-baru ini.

“Kali ini saya bebas membawa jenazah dari seluruh pelosok negeri ini. Hubungi saya, insya-Allah saya akan datang untuk menghantar jenazah ke mana sahaja yang diminta.

“Sejauh mana pun tempat hendak dituju, orang ramai tidak diminta untuk membuat bayaran. Saya bawa van jenazah ini adalah secara percuma. Ini adalah perkhidmatan fardu kifayah.

“Saya sanggup tinggalkan kerja untuk membawa jenazah tanpa mengira waktu dan hari demi berkhidmat kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Saari menambah, dia begitu teruja memperoleh van jenazah yang kini diuruskannya sendiri dan lebih sempurna.

Katanya, meskipun pandangan segelintir masyarakat menganggap kerjayanya itu sedikit menyeramkan dan mungkin perlu berdepan dengan pelbagai peristiwa aneh, baginya pekerjaan itu cukup menggembirakan hati.

“Sebenarnya, saya seronok bawa van jenazah sejak dahulu hingga sekarang. Saya tidak tahu hendak jelaskan perasaan ini, ditambah pula ada van sendiri dan boleh bergerak ke mana sahaja,” ujarnya.

Sejak menerima van pada 16 September lalu, Saari telah menghantar lebih daripada 20 jenazah, lokasi paling jauh adalah ke Jempol, Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, orang ramai yang memerlukan perkhidmatan van jenazah secara percuma boleh menghubungi di talian 016-7535715 atau 011-15775378.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN