GURUN: Seorang isteri kepada salah seorang mangsa yang terkorban dalam bencana kepala air di Gunung Jerai, Yan pada 18 Ogos lalu terkilan motosikal milik arwah suaminya yang dihanyutkan arus deras dalam kejadian itu belum ditemukan hingga sekarang.
Nornazliatul Aqilah Nazri, 26, berkata, motosikal jenis Honda EX5 berwarna hitam milik arwah suaminya, Mohamad Faizal Mohd. Zohir, 28, mempunyai sejarah dan kenangan yang tidak boleh dilupakan sepanjang perkahwinan mereka.
“Motosikal itu merupakan hadiah perkahwinan daripada keluarga dan menjadi pengangkutan utama kami di awal perkongsian hidup kami.
“Seboleh-bolehnya saya ingin simpan motosikal itu untuk ditunjukkan kepada dua anak kami, kenderaan ini digunakan bapa mereka untuk mencari rezeki sampai ke hujung hayatnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Batu 2, Jalan Gurun-Jeniang dekat sini semalam.
Mohamad Faizal merupakan salah seorang daripada enam mangsa yang terkorban dalam kejadian tragedi kepala air selepas dihanyutkan arus deras dalam kejadian itu.
Mayat mangsa ditemukan di dalam lumpur di muara Sungai Udang, Yan kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian di Titi Hayun, Yan.
Arwah Mohamad Faizal yang bekerja sebagai tukang rumah juga meninggalkan dua anak lelaki,Muhammad Aqif Umair, 1, dan Muhammad Aqil Uwais, 5.
Nornazliatul Aqilah memberitahu, dia telah meminta ahli keluarganya mencari motosikal milik arwah di sekitar kawasan lokasi kejadian namun gagal sehingga sekarang.
Sementara itu, tambahnya, pihak poljs pula masih tiada sebarang maklumat diterima mengenai kehilangan motosikal tersebut.
“Jika hilang di bawah timbunan kayu sudah tentu motosikal itu ditemui kerana kebanyakan kawasan kejadian telah dibersihkan,” katanya yang ditemui
Malah, Nornazliatul Aqilah berkata, dia sedia memberikan sagu hati kepada mereka yang menemukan motosikal tersebut.-UTUSAN ONLINE