PETALING JAYA : Sikap pemandu yang cuai dan terburu-buru untuk ke sesebuah lokasi termasuk pulang ke kampung dikesan menjadi salah satu punca peningkatan kemalangan jalan raya setiap kali peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perkara ini sekali gus tidak mustahil menyebabkan jumlah kemalangan jalan raya dibimbangi terus meningkat lebih-lebih lagi rentas negeri dibenarkan di seluruh negara.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim berkata, berdasarkan statistik sebanyak 566,760 kes kemalangan dilaporkan setiap kali peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak sejak 18 Mac tahun lepas hingga Rabu lalu.
Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 5,412 membabitkan kemalangan maut dengan menyaksikan 5,739 kematian telah direkodkan.

“Berdasarkan analisis yang direkodkan pada pelaksanaan PKP 1 menunjukkan sebanyak 5,948 kemalangan telah direkodkan membabitkan 51 kemalangan maut dengan 58 kematian.
“Bagaimanapun, pada PKP 2, jumlah kemalangan menurun apabila sebanyak 4,693 kes dicatatkan namun kemalangan maut tetap tinggi apabila 54 kemalangan maut direkodkan dengan 56 kematian,” katanya di sini semalam.
Mengulas lanjut, kata Mat Kasim, jumlah kemalangan dikesan naik mendadak bagi tempoh PKP 3 apabila sebanyak 6,011 kemalangan direkodkan, membabitkan 63 kemalangan maut dengan 65 kematian.
Ujar beliau, ketika PKPP pula, sebanyak 102,240 kemalangan dilaporkan dengan 835 kemalangan maut dengan 907 kematian.
“Senario ini jelas menunjukkan peningkatan aliran semasa rentas negeri sejak Isnin lalu akan memberikan impak dalam peningkatan kadar kemalangan jalan raya berdasarkan trend semasa.
“Justeru itu, JSPT mencadangkan agar kawalan kendiri yang lebih tinggi dalam kalangan pengguna jalan raya perlu diterapkan memandangkan kemalangan dikesan berlaku berpunca kenderaan dipandu terbabas sendiri, kecuaian dan cubaan memotong atau tukar laluan.
“Pelaksanaan sepenuhnya akan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut ekoran pertambahan jumlah kenderaan. Langkah ini membabitkan semua lapan operasi utama JSPT,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mat Kasim berkata, penguatkuasaan yang menyeluruh juga akan digunakan bagi menyuraikan kesesakan aliran kenderaan di semua jalan raya.
“Ia dibuat selepas mengambil kira pertambahan jumlah kenderaan yang dijangka berlaku dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila peraturan dilonggarkan.
“Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menentukan diri kekal cergas semasa pemanduan,” katanya.- UTUSAN ONLINE