Covid-19: Balu tidak tahu layak terima faedah Perkeso suami - Utusan Malaysia

Covid-19: Balu tidak tahu layak terima faedah Perkeso suami

NOR Fairus Johar (kiri) menerima bayaran faedah Perkeso daripada Mohd. Izhar Ahmad sambil diperhatikan Tong Sing Chuang di Flat Serantau, Larkin di Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang balu kepada lima anak yang kematian suami akibat Covid-19 tidak mengetahui dia layak menerima faedah di bawah Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Nor Fairus Johar, 41, berkata, ini kerana arwah suaminya tidak lagi membayar caruman tersebut setelah bekerja sendiri sebagai pengusaha van sekolah.

Katanya, kali terakhir suaminya, Selamat Omar membuat caruman dengan Perkeso adalah pada 2015 ketika masih bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di bandaraya ini.

“Ketika pandemik Covid-19 melanda, pendapatan kami terjejas dan arwah suami mencari alternatif lain bagi menambah pendapatan seperti kerja membuat rumah, mengecat dan sebagainya.

“Alhamdulillah, saya merasa sangat bersyukur menerima pencen penakat ini. Saya sendiri tak tahu layak menerima bantuan ini yang amat membantu buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui di Flat Serantau Baru, di sini.

Nor Fairus menerima bayaran tuntutan di bawah Skim Keilatan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad dan Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuang.

Nor Fairus kehilangan suaminya akibat pandemik Covid-19 pada 12 Ogos lalu dan meninggalkan lima cahaya mata berusia tiga hingga 16 tahun.

Katanya, arwah suami disahkan positif Covid-19 pada 3 Ogos sebelum dimasukkan ke hospital pada 7 Ogos dan meninggal dunia lima hari kemudian.

Nor Fairus berkata, setelah arwah suaminya dimasukkan ke hospital, mereka enam beranak turut mẹmbuat ujian calitan dan mendapat keputusan positif Covid-19.

“Anak-anak saya positif Covid-19 di tahap rendah manakala saya pula berada di tahap empat. Selama 20 hari saya ditempatkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.

“Doktor memberitahu 20 peratus paru-paru sudah rosak. Kini keadaan saya sudah tak sama seperti dulu, jangan kata nak berjalan, masa bercakap lama-lama pun saya akan mengah.

“Bila saya batuk sahaja, terus akan alami sesak nafas. Dengan keadaan sekarang ini, saya rasa sudah tak larat hendak meneruskan pekerjaan yang diusahakan suami. Syukurlah terima pencen ini, dapat membantu apa yang kurang,” ujarnya.

Sementara itu, Sing Chuang berkata, selain menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000, ibu tunggal itu juga mula menerima Faedah Pencen Penakat bagi arwah dengan pencen bulanan RM1,635.48.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN