Bomba bawa turun pendaki maut di Gunung Datuk - Utusan Malaysia

Bomba bawa turun pendaki maut di Gunung Datuk

PASUKAN penyelamat diketuai pasukan bomba membawa turun seorang pendaki yang meninggal dunia ketika pendakian di Gunung Datuk pada pukul 2.20 petang tadi. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Pasukan penyelamat diketuai pasukan bomba membawa turun seorang pendaki yang meninggal dunia ketika dalam pendakian di Gunung Datuk, di sini pagi tadi.

Mangsa, Mohd. Azam Che Mat, 45, pekerja sebuah kilang di Seremban disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik sebaik sahaja dibawa turun ke kaki Gunung Datuk pada pukul 2.20 petang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Arif Ahmad Osasi, pasukannya menerima maklumat berkenaan pada pukul 9.28 pagi.

Katanya, secara kebetulan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) sudah berada di lokasi susulan terdapat dua program dijalankan di Gunung Datuk.

“Mangsa dilaporkan sudah tidak sedarkan diri kira-kira 300 meter dari puncak Gunung Datuk di mana mangsa bersama 18 ahli kumpulan yang lain sedang menuju ke Gunung Gagak.

“Pasukan penyelamat bersama sukarelawan keseluruhannya seramai 30 orang bergilir-gilir mengusung mangsa turun dari puncak gunung,” katanya hari ini.

Sementara itu, rakan mangsa, Zakaria Ayub, 59, berkata, arwah aktif mendaki sejak lebih setahun lalu dan tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami masalah seawal pendakian pada pukul 4 pagi.

Menurutnya, mereka seramai 18 orang telah mendaftar naik ke gunung tersebut secara dalam talian untuk cabaran Trans Naning.

“Mangsa yang merupakan bekas pesakit Covid-19 tahap 3, solat subuh berjemaah di puncak Gunung Datuk bersama yang lain. Kami berehat lebih sejam sebelum meneruskan perjalanan ke Gunung Gagak.

“Lima minit selepas meneruskan perjalanan, mangsa mengadu kejang kaki dan kami berpatah balik ke arah mangsa. Bagaimanapun, mangsa sudah pun terbaring dan pengsan. Kami cuba memberi bantuan melalui tekanan dada namun mangsa tidak memberikan sebarang reaksi,” katanya.

Katanya, mereka terus menghubungi pasukan penyelamat bagi bantuan membawa turun mangsa dan tidak menyangka pendakian kali ini bersama rakan-rakan lain berakhir kejadian tidak diingini.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan di bawa ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya