Bilangan kenderaan rentas negeri meningkat - Utusan Malaysia

Bilangan kenderaan rentas negeri meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bilangan kenderaan merentas negeri menunjukkan peningkatan terutama di Semenanjung melibatkan semua arah menuju ke utara, selatan atau Lembah Klang.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, secara keseluruhannya, bilangan kenderaan merentas negeri di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) meningkat sebanyak 14 peratus.

Katanya, bilangan kenderaan melalui PLUS menuju ke arah utara adalah yang tertinggi dengan merekodkan peningkatan sebanyak 20.5 peratus.

“Kenderaan ke arah selatan pula mencatatkan peningkatan sebanyak 15.4 peratus manakala pergerakan menuju ke Lembah Klang juga meningkat 9.7 peratus.

“Kami akan terus memantau corak penyakit dan data mobiliti untuk meramalkan kemungkinan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di Twitter hari ini.

Semalam, kerajaan membenarkan rakyat merentas negeri selepas kelonggaran kebenaran merentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, peratusan rakyat Malaysia dewasa yang lengkap divaksinasi mencapai 90 peratus.

Melalui hantaran tersebut, Khairy Jamaluddin menyarankan orang ramai untuk mengamalkan TRISS, iaitu test (ujian), report (lapor), isolate (kuarantin atau pengasingan kendiri), inform (memaklumkan) dan seek (mendapatkan rawatan segera).

Beliau mengingatkan syarikat konsesi agar dapat memastikan pengudaraan baik dan melaksanakan penjarakan fizikal di lokasi berisiko tinggi di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya.

“Syarikat tersebut juga perlu bersedia untuk menerima bilangan kenderaan tinggi yang dijangka berlaku pada hujung minggu ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN