PETALING JAYA: Tindakan Datuk Seri Dr. Erwan Mohd Tahir kembali menyertai UMNO tidak menjejaskan Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Putrajaya.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, akar umbi dan kepemimpinan Bersatu Putrajaya sentiasa berada dalam keadaan kukuh dan utuh.
“Tindakan bekas Ketua Bahagian Putrajaya memohon kembali menyertai UMNO tidak menjejaskan Bersatu Putrajaya kerana beliau telah meletak jawatannya dan keluar parti pada 10 Oktober 2020 setelah tewas dalam pemilihan parti bagi jawatan Naib Presiden Bersatu.
“Dalam tempoh peletakan jawatan beliau, akar umbi Bersatu Putrajaya terus diperkukuh di bawah kepemimpinan pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan Ketua Bahagian Putrajaya, Fathul Azam Hashim melalui penubuhan cawangan serta pendaftaran keahlian yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata, Bersatu menegaskan bahawa kepemimpinan dan akar umbi parti di semua peringkat sentiasa cekal dan istiqamah menghayati perjuangan parti serta tidak berlandaskan hanya kepada sokongan terhadap seseorang individu.
Semalam, Erwan mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta merta dan kembali menyertai UMNO.
Turut bersama menyertai UMNO adalah kepimpinan tertinggi Bahagian Bersatu Putrajaya termasuk naib ketua bahagian, setiausaha bahagian, ahli jawatanckuasa bahagian, kepemimpinan Srikandi dan Armada serta lebih 120 orang ahli Bersatu Putrajaya.
Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat kerana yakin dan percaya bahawa hanya UMNO yang dapat memartabat dan mempertahan hak keistimewaan orang Melayu, Perlembagaan Malaysia dan Raja-Raja Melayu seperti mana yang dinyatakan di dalam asas dan tujuan penubuhan UMNO. – UTUSAN ONLINE