BAGAN SERAI: Masyarakat diminta tidak menularkan video atau sebarang berita tidak benar berkaitan program vaksinasi Covid-19 kepada golongan remaja.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, penularan berita seperti itu mengganggu kelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja yang dimulakan 20 September lalu.
Menurutnya, tindakan memuat naik rakaman video yang tiada kesahihannya seperti yang berlaku baru-baru ini menyebabkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
“Kementerian memberi amaran keras kepada mereka yang memuat naik berita tidak benar agar segera menghentikannya atau tindakan diambil terhadap mereka.
“Perbuatan mereka mengganggu perjalanan PICK Remaja. Kerajaan sedang memberi suntikan vaksin kepada golongan remaja bagi menyelamatkan kesihatan mereka daripada dijangkiti Covid-19.
“Saya amat marah dan kesal dengan perbuatan pihak yang suka menular berita yang tidak benar,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir dan tiga anak yatim piatu yang baru kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19 di Kampung Tanjung Bugis dekat sini hari ini.
Noor Azmi juga kesal dengan dakwaan seorang pelajar meninggal dunia selepas menerima vaksin.
“Ia tidak benar. Setakat ini tiada kes kematian melibatkan remaja selepas menerima vaksin dan kementerian memandang serius dakwaan itu,” katanya.
Menurutnya, semakan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) tidak melaporkan sebarang kesan sampingan teruk seperti radang otot jantung atau myocarditis dan radang selaput jantung atau pericarditis dialami remaja selepas menerima vaksin.
Beliau berkata, kementerian hanya menerima laporan berlakunya kesan sampingan kecil seperti demam, bengkak dan gatal yang boleh pulih segera dalam tempoh satu hingga dua hari dengan pengambilan ubat.
“Jika mengalami kesan lebih teruk seperti sakit dada, sukar bernafas dan jantung berdegup laju, mereka wajib laporkan dan dapatkan rawatan segera ke hospital atau klinik berhampiran kerana dari situ NPRA dapat menyediakan laporan.
“Kementerian melakukan pemantauan setiap hari perkembangan pemberian imunisasi ini dan sekiranya ada laporan kesan sampingan vaksin, kita akan terus berikan maklumat yang tepat secara telus kepada umum,” katanya.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan pada 29 September lepas menafikan dakwaan seorang aktivis dalam video yang tular mengenai kematian lima remaja masing-masing di Perak, Sabah dan satu lokasi tidak dimaklumkan yang dikatakan berlaku selepas menerima vaksin. – UTUSAN ONLINE