Bekas ejen pengurusan hadapi 23 pertuduhan rasuah

Bekas ejen pengurusan hadapi 23 pertuduhan rasuah

TAY Choon Siew (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret bagi menghadapi 23 pertuduhan rasuah di Johor Bahru. - FOTO/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas ejen pengurusan sebuah pangsapuri di bandar raya ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 23 pertuduhan menerima suapan dengan nilai keseluruhan RM9,600 antara 2017 hingga 2019.

Tertuduh, Tay Choon Siew, 68, membuat pengakuan tersebut setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dia didakwa menerima rasuah berjumlah RM400 dan RM800 daripada seorang kontraktor menerusi akaun miliknya sebagai dorongan mencadangkan syarikat milik kontraktor terbabit melakukan kerja-kerja pembersihan dan landskap di pangsapuri tempatnya bekerja ketika itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru antara 3 Mei 2017 hingga 3 September 2019.

Bagi kesemua pertuduhan, Choon Siew didakwa di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Kes dikendalikan Pengawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi, manakala tertuduh diwakili peguam, Datin Freda Sabapathy.

Nur Mahirah mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Johor pada setiap bulan.

Peguam tertuduh bagaimanapun memohon jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh yang juga warga emas itu tinggal sebatang kara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang setelah bercerai pada 2013 dan hilang mata pencarian setelah berhenti kerja pada 2019. 

Freda memberitahu, tertuduh yang menghidap kanser kolon sejak 2017 kini terpaksa menggunakan ‘stoma bag’ yang perlu ditukar setiap hari.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai selain hakim menetapkan 29 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya