Bekalan elektrik, air di KRC dilengkapkan dalam tempoh setahun - Utusan Malaysia

Bekalan elektrik, air di KRC dilengkapkan dalam tempoh setahun

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) bergambar bersama Mahdzir Khalid (dua kiri) di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR : Kerajaan negeri memberi tempoh selama setahun melengkapkan keperluan bekalan elektrik dan air yang secukupnya di Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap dekat sini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara tersebut akan diberi perhatian dalam memenuhi keperluan pelabur yang akan beroperasi di kawasan industri tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mengharapkan supaya proses pengambilan alihan tanah dapat diselesaikan dalam tempoh sama.

Katanya, setakat ini, enam syarikat telah menyatakan komitmen untuk melabur di kawasan industri tersebut dengan nilai keseluruhan mencecah RM1.55 bilion.

“Tempoh setahun itu bermula hari ini dan menjelang Oktober tahun depan, kita nak supaya isu berkaitan bekalan elektrik, air serta tanah ini selesai.

“Sebab itu kita nak tubuhkan jawatankuasa khas di peringkat negeri dan agensi melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syarikat Air Darul Aman (SADA) serta pihak berkaitan bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pejabatnya di sini hari ini.

Sebelum ini, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menggesa kerajaan negeri supaya menyegerakan projek pembinaan loji rawatan dan bekalan air di kawasan tersebut demi kegunaan operasi para pelabur.  

Menurut Mahdzir, selain isu air, KRC juga memerlukan bekalan elektrik yang lebih tinggi berbanding apa yang ada ketika ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sebelum ini beliau difahamkan, kebiasaannya tempoh masa sehingga lima tahun diperlukan untuk membawa bekalan elektrik ‘masuk’ ke KRC dengan kadar besar seperti diperlukan.

“Kita minta pihak berwajib percepatkan dan mereka kata boleh siapkan dalam tempoh dua tahun setengah. Tetapi hari ini dengan semua daya usaha yang kita ada, kita minta untuk tempoh setahun pula.

“Harap-harap perkara ini dapat dilaksanakan secepat mungkin sebab KRC ini tidak hanya membawa limpahan ekonomi besar kepada penduduk Padang Terap saja, malah banyak lagi kawasan-kawasan luar bandar di Kedah antaranya Sik serta Baling,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN